Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan 2023.

Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim Chee Keong ketika membentangkan RUU itu untuk bacaan kali kedua berkata, RUU itu meminda Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976, Akta Setem 1949, Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967 dan Akta Kewangan 2018.

Steven berkata, RUU itu bagi menguatkuasakan langkah cukai yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 selain melaksanakan keputusan kerajaan berkenaan penambahbaikan pentadbiran cukai yang memerlukan pindaan kepada akta berkaitan.

Beliau berkata, RUU berkenaan mengandungi 29 fasal yang dibahagikan kepada enam bab yang meminda lima akta dinyatakan.

"Saya juga ingin memaklumkan terdapat pindaan terkini akan dicadangkan pada peringkat Jawatankuasa. Pindaan ini adalah berbangkit selepas kerajaan memperhalusi semula secara teliti langkah cukai bagi Belanjawan 2023.

"Ia berkaitan tarikh kuat kuasa bersesuaian bagi membolehkan persediaan dibuat oleh pembayar cukai dan keputusan kerajaan untuk terus membenarkan potongan cukai ke atas Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN)," katanya.

Pindaan Akta Cukai Pendapatan 1967 membabitkan 15 fasal, antaranya Fasal tiga hingga 17 bertujuan meminda akta ibu dan tarikh kuat kuasa bagi fasal 16(f) di bawah subfasal (1) dan subperenggan 4(a)(iv) di bawah subfasal (1) disyor untuk dipinda pada peringkat Jawatankuasa.

Selain itu, perenggan 46(1)(k) dikekalkan berikutan keputusan kerajaan untuk terus membenarkan potongan cukai ke atas SSPN dan disyor untuk dipinda pada peringkat Jawatankuasa.

DEWAN rakyat.
DEWAN rakyat.

Bagi pindaan Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976, ia membabitkan dua fasal, antaranya Fasal 18 bertujuan menyatakan pindaan dibuat mula berkuat kuasa apabila berkuatkuasanya akta berkenaan.

Pindaan Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967 pula mengandungi enam fasal, antaranya Fasal 27 bertujuan membenarkan pembayar cukai mengemukakan apa-apa borang ditetapkan melalui perantaraan elektronik atau secara penghantaran elektronik.

Mengenai pindaan Akta Kewangan 2018, dua fasal masing-masing Fasal 28 dan Fasal 29 dimasukkan berikutan keputusan kerajaan terus membenarkan pelepasan cukai ke atas SSPN dan disyor untuk dipinda di peringkat Jawatankuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2023 @ 3:57 PM