FOTO hiasan Arkib NSTP.
FOTO hiasan Arkib NSTP.
Mohd Iskandar Ibrahim


PELUPUSAN kenderaan terbiar oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) kini lebih mudah selepas Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2018, hari ini.

Pindaan membabitkan Seksyen 66 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memberi kuasa kepada menteri untuk membangunkan satu kaedah khusus mengenai tatacara pembatalan pendaftaran kenderaan motor atas sebab munasabah.

RUU itu diluluskan selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamarudin Jaffar.

Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof mengumumkan pindaan akta itu diluluskan menerusi undi sebulat suara selepas dibahas oleh enam Ahli Parlimen.

Pindaan Seksyen 66 itu antara lain memberi kuasa kepada menteri memperjelas dan menetapkan peraturan berkaitan penggunaan apa-apa kaca atau bahan lutsinar yang dipasang pada kenderaan motor, selain menetapkan fi bagi proses permohonan terbabit.

Selain itu, pindaan turut membabitkan Seksyen 3 dengan memperkenalkan Subseksyen 4A bagi menerangkan pemberian kuasa kepada Datuk Bandar dalam sesuatu Majlis Bandaraya untuk melantik sebilangan orang dalam perkhidmatannya sebagai warden lalu lintas.

Kamarudin berkata, RUU terbabit penting untuk menjayakan usaha kerajaan meningkatkan tahap keselamatan di jalan raya dan menambah baik keberkesanan pengurusan, penguat kuasaan serta kawal seliaan lalu lintas khususnya di bandar.

“Rata-rata semuanya menunjukkan sokongan kerana pindaan RUU ini untuk memperkemaskan pengurusan pengangkutan.

“Ia khususnya kuasa yang diberi secara jelas kepada menteri untuk menjalankan kuasa kementerian dan kepada kerajaan tempatan untuk mentadbir kenderaan dalam kawasan PBT masing-masing.

“Ini juga membabitkan kuasa menteri mengenakan fi yang tidak menyusahkan rakyat, tetapi memberikan hasil tambahan kepada kerajaan melalui pindaan RUU ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Disember 2018 @ 5:11 PM