PROSES pendaftaran lesen peniaga pada Program Penyusunan Semula Peniaga dan Penjaja Bandar Baru Sungai Buloh-MBSA, di Bandar Baru Sungai Buloh. FOTO Asyraf Hamzah
PROSES pendaftaran lesen peniaga pada Program Penyusunan Semula Peniaga dan Penjaja Bandar Baru Sungai Buloh-MBSA, di Bandar Baru Sungai Buloh. FOTO Asyraf Hamzah
Ekhwan Haque Fazlul Haque

MAJLIS Bandaraya Shah Alam (MBSA) perlu meneliti semula prosedur permohonan lesen peniaga dan penjaja kecil supaya lebih mudah sekali gus membolehkan golongan itu menjalankan perniagaan berlesen.

Presiden Dewan Perniagaan Pembangunan Usahawan Malaysia (MCED), Datuk Nazilah Idris berkata, pelbagai syarat yang perlu dipatuhi menyebabkan permohonan peniaga dan penjaja kecil sering ditolak pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Menurutnya, akibat tersepit demi mencari sesuap nasi menyebabkan peniaga dan penjaja kecil ini terpaksa mengambil risiko berniaga tanpa lesen sehingga bertahun-tahun lamanya.

"Saya cadangkan MBSA dan PBT lain mudahkan permohonan lesen untuk golongan peniaga dan penjaja kecil kerana paling penting tidak menimbulkan masalah di lokasi perniagaan yang dijalankan.

"Jika pandangan ini diambil kira, saya fikir ramai peniaga dan penjaja kecil yang sebelum ini tidak berlesen akan tampil memohon lesen perniagaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas mengenai rungutan peniaga di Bandar Baru Sungai Buloh yang terjejas kerana tindakan drastik MBSA melakukan operasi, Nazilah berkata, peniaga dan penjaja kecil boleh mendapatkan surat sokongan daripada MCED untuk memohon pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) atau Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional.

Beliau berkata, menerusi pinjaman yang diterima kelak boleh digunakan untuk sementara waktu memulakan semula perniagaan yang terjejas seperti mencari lokasi yang lebih sesuai.

"MDEC boleh bantu beri surat sokongan kerana fokus utama kami adalah memberikan khidmat nasihat dan bantuan kepada usahawan di negara ini agar mereka tidak terus terjejas disebabkan kemelut ekonomi yang masih belum pulih sepenuhnya.

"Peniaga dan penjaja kecil ini bukan berniaga untuk hidup mewah kerana pendapatan yang diperoleh hanya untuk menampung kehidupan harian khususnya di bandar besar.

"Diharap kerajaan negeri termasuk kerajaan pusat menerusi kementerian berkaitan mengambil serius kemelut yang dihadapi golongan ini agar tidak terus tersepit dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil," katanya.

Peniaga di Bandar Baru Sungai Buloh sebelum ini kecewa dengan tindakan 'keras' MBSA yang meroboh dan merampas peralatan perniagaan sejak beberapa hari lalu susulan penularan video mengenai kegiatan premis perjudian dan kedai menjual rokok seludup.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 9:42 PM