GAMBAR hiasan. FOTO ARKIB NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO ARKIB NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Peluang dan kelonggaran perlu diberi kepada kira-kira 4,000 peniaga dan penjaja yang berniaga di tepi jalan sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Presiden Gabungan Persatuan Peniaga dan Penjaja Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, kebanyakan peniaga kecil ini adalah pemohon Lesen Sementara KL Prihatin yang akan tamat pada Disember 2021.

Beliau berkata, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) harus mempertimbangkan untuk membolehkan peniaga kecil ini dapat meneruskan perniagaan masing-masing.

"Jika boleh kami mahu peniaga dan penjaja yang mempunyai lesen sementara ini diberi peluang dan kelonggaran untuk tetap berniaga.

"Kami memang tidak setuju sekiranya lesen mereka ini ditamatkan kerana kita sedia maklum dengan keadaan pandemik ini, mata pencarian mereka bergantung dengan perniagaan.

"Perniagaan sudah menjadi sumber pendapatan utama mereka ini dan apakah nasib mereka jika tidak diberi peluang oleh pihak berkuasa," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Rosli berkata, bagi peniaga yang tidak mempunyai Lesen Sementara KL Prihatin dan baru berniaga perlu mengikuti prosedur biasa ditetapkan DBKL.

Menurutnya, permohonan lesen mengikut lokasi boleh dibuat di pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Contohnya, jika kita ada 4,000 daripada kalangan mereka yang berniaga di seluruh Wilayah Persekutuan dan kita minta DBKL untuk buat bancian dan pengredan kepada mereka sama ada mereka ini boleh terus berniaga atau mereka kena ikut peraturan DBKL.

"Bagi peniaga yang mempunyai lesen sementara ini boleh mengunjungi mana-mana persatuan untuk mereka membuat aduan melalui persatuan.

"Sebenarnya kita ada enam persatuan peniaga di bawah Wilayah Persekutuan ini antaranya Persatuan Peniaga Bumiputera, Persatuan Pekedai dan Peruncit, Persatuan Penjaja Kecil Melayu Wilayah dan Persatuan Peniaga China, jadi mereka yang terjejas ini boleh mengadu nasib dengan persatuan yang ada agar pihak ini dapat membantu memanjangkan permohonan mereka ke pihak atasan," katanya.

Lesen Sementara KL Prihatin adalah di bawah inisiatif Wilayah Bebas Berniaga yang dilancarkan pada 10 November 2020.

Inisiatif Wilayah Bebas Niaga bermula pada 15 November 2020 sehingga 15 April 2021 disambung sehingga 31 Julai 2021 telah dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021.

Pembaharuan lesen adalah percuma, penjaja yang memperoleh lesen tidak perlu mengemukakan permohonan baru.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Disember 2021 @ 7:25 PM