BANGKAI anak gajah yang ditemui penduduk. FOTO Mohd Rashidi Yusuf
BANGKAI anak gajah yang ditemui penduduk. FOTO Mohd Rashidi Yusuf
Mohd Rashidi Yusuf


"LEBIH kurang 5 pagi semalam (kelmarin), 11 Ogos, ada bunyi gajah di kawasan ladang getah dan dusun.

"Bunyinya luar biasa sikit, bunyi macam merintih begitu, selepas pagi tu orang pergi tengok ada seekor (anak) gajah mati," kata seorang penduduk, ketika diminta maklumat mengenai penemuan bangkai seekor anak gajah di tepi sebatang anak sungai di Kampung Batu Reng dekat Lenggong, semalam.

Penduduk terbabit yang enggan disiarkan namanya, berkata sebelum itu memang ada sekumpulan gajah liar di kawasan ladang getah dan dusun durian milik penduduk.

Katanya, kumpulan gajah itu membabitkan lima dan enam ekor serta ada anak kecil.

"Itulah ceritanya, ada dua pondok di kebun getah dan di dusun durian, kedua-duanya telah dirobohkan pada pagi itu.

"Salah sebuah dangau (pondok kecil) dirobohkan kumpulan gajah itu di tanah yang sedang diusahakan tanam semula getah oleh tuannya," katanya.

Katanya, tidak pasti kenapa anak gajah itu mati dan bangkainya ditemui di kawasan berhampiran sungai.

Bangkai anak gajah itu, katanya, ditanam oleh renjer Jabatan Perlindungan Hidupan liar dan Taman Negara (PERHILITAN) tengah hari semalam.

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Negeri Perak, Yusoff Shariff ketika dihubungi mengesahkannya dan mengarahkan staf jabatan itu untuk membuat siasatan serta mengambil tindakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 7:30 PM