Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim


SEORANG lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di Kota Bharu, hari ini terhadap dua pertuduhan membabitkan transaksi pengubahan wang haram berjumlah RM16,000 pada Disember tahun lalu.

Tertuduh, Rosyizwan Jali, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Bazli Bahruddin.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Lim Chooi Yi dan tertuduh diwakili peguam, Nik Saiful Adli Burhan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa terbabit dalam transaksi pengubahan wang haram dengan melupuskan wang RM6,000 daripada akaun Maybank miliknya hasil daripada aktiviti haram di Maybank Jalan Mahmood, pada 13 hingga 14 Disember tahun lalu.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa terbabit dalam transaksi pengubahan wang haram dengan memindahkan wang RM10,000 daripada Maybank miliknya kepada penama akaun Maybank, Adi Makram Mohamad, 31, iaitu hasil daripada aktiviti haram.

Tertuduh melakukan kesalahan mengikut subseksyen (4)(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) dan dibaca bersama Seksyen 87(1) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu, pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana lebih tinggi.

Terdahulu, Chooi Yi menawarkan jaminan RM80,000 bagi dua pertuduhan berkenaan selain memohon tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Bagaimanapun, Nik Saiful Adli memohon jaminan dikurangkan kerana tertuduh hanya bekerja kampung selain mengambil kira kerjasama yang diberikan anak guamnya.

Mahkamah menetapkan jaminan RM25,000 dan tertuduh perlu melapor diri di balai polis setiap 1 hari bulan.

Mahkamah turut menetapkan 14 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Rosyizwan (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Rosyizwan (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2020 @ 2:12 PM