Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Seorang pegawai kanan agensi ketenteraan didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini atas pertuduhan terbabit aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM114,000.

Tertuduh, Leftenan Kolonel Azman Mohamad Yasin, 58, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, S Indra Nehru.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang bernilai RM114,000 melalui cek Maybank Berhad bernombor 218189 milik Mohamad Adkaa Solahuddin, 64, yang adalah hasil aktiviti haram ke dalam akaun CIMB Bank milik tertuduh di CIMB Bank cawangan Bidor di Batang Padang, Perak, pada 25 Oktober 2016.

Perbuatan itu didakwa atas kesalahan pengubahan wang haram mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Sabit kesalahan, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram itu atau nilai peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta ringgit, mana yang lebih tinggi.

AZMAN (kanan) ketika diiring masuk ke bilik perbicaraan Mahkamah Sesyen Ipoh, atas pertuduhan terbabit aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM114,000. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
AZMAN (kanan) ketika diiring masuk ke bilik perbicaraan Mahkamah Sesyen Ipoh, atas pertuduhan terbabit aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM114,000. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI

Nehru Savandiah membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahida Jalaluddin untuk kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Ia berikutan tertuduh dibicarakan bersama dua lagi pertuduhan terhadap tertuduh, membabitkan kes pecah amanah dan penyalahgunaan dana Tabung Kebajikan Akademi Latihan Ketenteraan (TKALK).

Indra Nehru membenarkan wang jaminan bagi kes kali ini hanya mengguna pakai jumlah jaminan yang ditetapkan bagi dua kes tertuduh sebelum ini iaitu RM80,000 dengan seorang penjamin.

Pada 23 November tahun lalu, Azman bersama (Brig Jeneral (B) Datuk) Mohamad Adkaa, 64, masing-masing mengaku tidak bersalah ketika didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dakwaan pecah amanah dan menyalahguna dana TKALK berjumlah hampir RM1 juta yang dilaburkan ke dalam institusi kewangan tidak berdaftar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 12:00 PM