MUHYIDDIN. FOTO Bernama
MUHYIDDIN. FOTO Bernama
Sri Ayu Kartika Amri


KERAJAAN menegaskan  Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) perlu mengikut Dasar Pendidikan Kebangsaan sekiranya mahu dipertimbangkan pada masa hadapan.  

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin  menjelaskan kerajaan tidak pernah menyatakan akan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dalam pertemuan beliau bersama pimpinan Persekutuan Persatuan Cina Malaysia (Hua Zhong), Khamis lalu.  

"Berhubung isu pengiktirafan UEC yang dibangkitkan dalam pertemuan pimpinan Hua Zhong Bersama Perdana Menteri pada 16 Julai 2020, ingin dijelaskan bahawa Perdana Menteri tidak menyatakan kerajaan akan mengiktiraf UEC. 

"Perdana Menteri menyebut bahawa UEC telah mendapat pengiktirafan sebahagian (partial recognition) apabila kerajaan pada masa lalu menerima lepasan UEC untuk mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dalam bidang pengkhususan Bahasa Cina di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM)," kata Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan, di Kuala Lumpur, hari ini.  

Menurut kenyataan itu, kerajaan pada 2012 juga sudah menerima lepasan UEC untuk mengikuti program PISMP dalam bidang Bahasa Cina dengan syarat mereka lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan memperolehi sekurang-kurangnya gred kepujian dalam Bahasa Melayu.   Hua Zhong menerusi kenyataannya kelmarin, memaklumkan tuntutan pengiktirafan UEC adalah antara perkara utama yang dibincangkan dalam pertemuan bersama Perdana Menteri di Parlimen, Khamis lalu.  

Pertubuhan itu juga mendakwa Muhyiddin secara peribadi berharap kerajaan akan mengiktiraf UEC pada suatu hari nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2020 @ 9:54 AM