KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya, hari ini. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya, hari ini. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Saipul Adli Mohamad; Yusmizal Dolah Aling dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


KAPASITI ujian Covid-19 dijalankan di negara ini sudah memadai memandangkan kadar kes positif dikesan masih di bawah paras 10 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sekiranya kes positif mencatat 10 hingga 15 peratus daripada jumlah saringan dijalankan, maka kapasiti ujian pengesanan perlu dipertingkatkan.

Beliau berkata, daripada data Universiti Oxford, Malaysia menjalankan 31.2 ujian untuk 1,000 populasi dan kadar positif hanya 0.9 peratus saja dikesan.

"Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) memaklumkan jika kes positif meningkat 10 hingga 15 peratus, ini bermakna lebih banyak kes dalam komuniti belum diuji.

"Kumulatif positif di Malaysia hanya 0.9 peratus bererti memadai ujian dijalankan setakat ini.

"Kita lihat pada saringan kepada pesakit sebelum pembedahan sebanyak 89,288 pesakit yang mewakili semua lapisan masyarakat dan kadar positif 0.005 peratus dan kita dapat rumuskan Covid-19 di negara kita terkawal dan ujian memadai," katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, perbincangan mengenai vaksin masih berlangsung dan kini ujian klinikal sudah berada pada peringkat ketiga, namun Malaysia tidak terpilih untuk ujian klinikal berkenaan.

Beliau berkata, setakat kini lebih banyak persoalan berbanding jawapan terhadap keberkesanan vaksin dibangunkan sehingga data diperoleh hasil ujian klinikal ketiga selesai dijalankan.

"Kita tetap menggalakkan kajian vaksin itu terus dijalankan sehingga mendapat data yang membuktikan keberkesanan vaksin itu.

"Kita sudah berbincang dengan tiga syarikat (penyedia ubatan) dan beberapa negara terbabit dalam pembangunan vaksin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 6:27 PM