FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Manchester: Vaksin keluaran BioNTech-Pfizer didapati terbukti sangat berkesan di dunia nyata berdasarkan data Covid-19 yang didapati dari Israel.

Israel ketika ini adalah negara yang mencatatkan jumlah penduduk paling ramai menerima vaksin.

Ia memulakan program vaksinasi sejak 20 Disember 2020 dan pada penghujung Januari lalu, 33 peratus populasinya sudah menerima dos pertama dan 19 peratus sudah menerima dos kedua.

Portal News Medical melaporkan ketika memulakan kempen berkenaan, Israel berdepan gelombang ketiga jangkitan dengan angka kes baharu dan kemasukan ke hospital meningkat lebih dua kali ganda pada pertengahan Januari 2021.

Berikutan itu, ia mengumumkan sekatan pergerakan pada 8 Januari 2021 namun, kes tidak menunjukkan sebarang pengurangan hingga menimbulkan tanda tanya keberkesanan vaksin.

"Bagaimanapun, sangat sukar untuk menganggarkan keberkesanan vaksin di dunia nyata kerana ia perlu mengambil kira faktor sosioekonomi dan demografi populasi serta perbezaan antara kumpulan dalam kadar jangkitan.

"Faktor kekeliruan seperti itu tidak terdapat dalam ujian klinikal secara rawak kerana jumlah sampel yang terhad," kata portal itu.

Dalam kertas kajian yang diterbitkan dalam medRxiv, Prof Madya Dr Dvir Aran dari Technion-Israel Institute of Technology berkata, berdasarkan data diperoleh, dengan mengandaikan bahawa jumlah penduduk yang sudah divaksin mewakili separuh daripada jumlah keseluruhan populasi, tiada sebarang penurunan kes berlaku sehingga 21 hari selepas dos pertama.

"Namun, jumlah kes menurun 66 peratus tujuh hari selepas dos kedua.

"Bagi individu berusia lebih 60 tahun yang mewakili sebahagian besar jumlah kes serius, analisis menyatakan kesan yang tinggi terhadap vaksin dengan mengurangkan kes serius sebanyak 60 peratus selepas dos pertama dan sehingga 94 peratus, tujuh hari selepas dos kedua," katanya.

Menurutnya, secara keseluruhan, analisis berkenaan menyaksikan pengurangan kes positif antara 66 dan 83 peratus bagi individu berusia lebih 60 tahun, 76-85 peratus (usia kurang 60 tahun) serta 87-96 peratus untuk mencegah kes serius.

Katanya, berdasarkan data sebenar dari Israel, yang meliputi 140 kali ganda lebih ramai individu berbanding ketika percubaan, ia secara tidak langsung memberikan anggaran keberkesanan vaksin itu dalam usaha mengurangkan kes jangkitan dan serius.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2021 @ 6:00 AM