FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Agensi

Washington: Vaksin Covid-19 keluaran Johnson & Johnson menjadi vaksin ketiga yang diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS), pada akhir bulan lalu.

Ia selepas kelulusan sama diberikan FDA kepada vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNtech dan Moderna, pada Disember tahun lalu.

Dengan perkembangan itu, ia bakal menyaksikan AS menggunakan vaksin Johnson & Johnson dalam program imunisasi Covid-19 secara besar-besaran.

Newsweek melaporkan vaksin Johnson & Johnson diramal menjadi pengubah keadaan (game changer) apabila penerimanya hanya perlu disuntik satu dos saja.

Ia berbanding vaksin Covid-19, Pfizer-BioNtech dan Moderna yang memerlukan dua dos dalam tempoh jangka masa tertentu.

Berdasarkan data ujian klinikal global Fasa 3 yang dinilai FDA, vaksin Johnson & Johnson mempunyai keberkesanan sehingga 66 peratus terhadap Covid-19 yang sederhana sehingga serius, empat minggu selepas imunisasi.

Kadar keberkesanan juga konsisten mengikut semua kumpulan usia.

Ujian klinikal itu, yang membabitkan seramai 44,000 orang, telah dijalankan di lapan negara di tiga benua, dengan 34 peratus daripada pesertanya adalah individu berusia lebih 60 tahun.

Kadar keberkesanan juga dilaporkan berbeza mengikut lokasi ujian.

Sebagai contoh, di AS, keberkesanan vaksin itu terhadap Covid-19 yang sederhana sehingga serius, empat minggu selepas imunisasi adalah 72 peratus.

-Agensi

Namun di Afrika Selatan, di mana lebih daripada 90 peratus kes jangkitan Covid-19 disebabkan oleh varian baharu 501Y.V2 yang lebih mudah berjangkit, kadar keberkesanan vaksin berkenaan adalah 64 peratus, menurut FDA.

Dalam pada itu, jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di AS sudah melepasi 29 juta, menurut data Johns Hopkins University pada Isnin, lapor agensi berita Sputnik.

Sementara itu, kes kematian akibat virus itu di negara berkenaan berjumlah 525,136 orang.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mac 2021 @ 6:40 AM