ANGGOTA polis menyerbu pusat urut di Petaling Jaya. FOTO IHSAN PDRM
ANGGOTA polis menyerbu pusat urut di Petaling Jaya. FOTO IHSAN PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


TINDAKAN sebuah premis menjalankan kegiatan pusat urut dengan mengupah pekerja warga asing Dataran Sunway, Kota Damansara di Petaling Jaya mengundang padah apabila diserbu, semalam.

Serbuan pada 6 petang dilakukan sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya kerana turut ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya menahan dua lelaki warga asing berusia 28 tahun dan 27 tahun dipercayai penjaga kaunter di premis itu.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut dalam rumah kedai itu menemui tiga lelaki dan lapan wanita warga asing berusia 18 hingga 33 tahun disyaki tukang urut sedang menunggu pelanggan dalam beberapa bilik.

"Penjaga kaunter berusia 28 tahun itu ditahan kerana menggaji pekerja warga asing tanpa permit yang sah, manakala yang lain ditahan kerana bekerja tanpa permit yang sah.

"Selain itu, kesemua suspek juga tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta melanggar syarat PKPP," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, polis turut merampas tujuh keping kertas catitan jadual kerja kesemua suspek dan mereka ditahan reman selama 14 hari.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959 (Pindaan 2002).

"Mereka turut disiasat mengikut Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2020 @ 4:25 PM