Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
Rosli Ilham


SEORANG penternak di Taman Murni Perdana, Paka kerugian hampir RM15,000 apabila tujuh lembu miliknya hilang, didakwa dicuri pihak tidak bertanggungjawab.

Sukari Awang, 55, berkata, dia hanya menyedari kejadian itu apabila melihat kandang lembunya kosong pada 6.45 pagi kelmarin dan percaya pencuri itu bergerak secara berkumpulan.

"Saya sangat sedih apabila lima lembu betina dan dua lembu jantan yang berusia antara setahun hingga tiga tahun hilang.

"Sampai hati penyamun itu buat begini kepada saya," katanya ketika ditemui, hari ini.

Sukari berkata, kali terakhir dia melihat ternakannya pada 10.45 malam Rabu sebelum pulang ke rumahnya.

Katanya, dia percaya ternakannya dicuri berdasarkan kesan tayar kenderaan di kawasan kandang selain menemui aksesori kereta yang tertanggal.

Lebih dikesalinya kerana kejadian itu adalah insiden ketiga yang dihadapi selepas Februari lalu yang menyebabkan lima lembu hilang.

Dia turut membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2020 @ 4:49 PM