YAACOB, dari Kampung Pulau Kerengga bersama lembu baka miliknya yang hilang. FOTO ihsan Yaacob
YAACOB, dari Kampung Pulau Kerengga bersama lembu baka miliknya yang hilang. FOTO ihsan Yaacob
Ahmad Rabiul Zulkifli


Marang: Penternak rugi lebih RM40,000 apabila empat lembu bakanya hilang dipercayai dicuri di Kampung Pulau Kerengga di sini, hari ini.

Yaacob Yaman, 66, berkata, dia menyedari lembunya jenis limosin dan belgian blue itu hilang kira-kira 7 pagi ketika mahu memberi ia makan.

Katanya, lembu itu berusia antara enam bulan hingga enam tahun diternak di kawasan padang ragut sejak 2016 yang terletak 200 meter dari rumahnya.

"Rasa nak pitam apabila empat daripada enam lembu saya hilang daripada kawasan ia diikat.

"Saya baru sahaja beli kayu untuk buat kandang yang lebih selamat buat semua ternakan saya, namun kejadian ini pula berlaku," katanya hari ini.

Yaacob mendakwa menemui kesan tayar lori satu tan di tempat lembunya hilang dan kesan najis lembu yang masih baru, yang memungkinkan lembunya dilarikan antara jam 3 hingga 4 pagi.

"Saya sudah buat hebahan di media sosial dan cari di banyak kawasan. Hanya ini harta saya ada, ternakan seperti tabung saya. Jika perlukan wang, ia boleh dijual," katanya yang berharap ternakannya ditemui segera.

Sementara itu, menantunya, Mohamad Al Bukhari Husain, 32, berkata, sebelum ini dua daripada empat lembu yang hilang itu pernah ditawarkan pada harga RM7,000 dan RM9,000 seekor.

"Ketika itu ayah tidak jual kerana ia masih muda dan mahu menternaknya lagi. Kini ia hilang, semestinya kami sedih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 3:59 PM