Hafidzul Hilmi Mohd Noor


BEKAS jurutera awam Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1,450 berhubung tiga projek membabitkan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) dan Komuter lima tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Amin Muhammad N Hushaimi, 36, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Berdasarkan kertas tuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa sebagai Pegawai Badan Awam, iaitu Jurutera Awam, Jabatan Pengurusan Projek, KTMB (ketika itu) secara rasuah menerima suapan daripada Mohd Nizam Hasan berjumlah masing-masing RM950 dan RM500 melalui akaun Maybank Islamic milik tertuduh.

Suapan itu adalah sebagai dorongan untuk dirinya sebagai pengurus projek supaya tidak mengesyorkan surat arahan berhenti kerja sementara ekoran faktor keselamatan bagi projek cadangan tambahan dan pengubahsuaian pada LRT Stesen Abdullah Hukum sedia ada dan cadangan pembangunan sebuah Stesen KTM Komuter tiga tingkat di atas sebahagian tanah rizab kereta api.

Selain itu, projek lain juga ialah cadangan pembangunan mendirikan sebuah Stesen Komuter Bersepadu Kajang 2 serta kemudahan lain antaranya pejabat pengurusan, Kiosk jualan tiket, pusat penerangan pelancongan dan jejantas pejalan kaki yang berbumbung.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Berhad di Lot No.7, 8 & 9 Departure Hall Level 1, Kl City Air Terminal (KLCAT), KL Sentral, Kuala Lumpur, pada 15 Julai dan 14 September 2015.

Bagi semua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Muhammad Asraf Mohamed Tahir yang mencadangkan jaminan RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam Shahidah Muslimah Roslan yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan ikat jamin berkenaan dengan alasan tertuduh kini bekerja sendiri dengan menjual laksa selepas diberhentikan kerja.

"Tertuduh juga mempunyai tanggungan keluarga termasuk dua anak masing-masing berusia lima dan tujuh tahun serta seorang isteri," katanya.

Selepas mendengar permohonan berkenaan, Rozina membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM berdekatan sekali sebulan.

Mahkamah kemudian menetapkan 23 September depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

MOHD Amin (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menerima rasuah. FOTO Eizairi Shamsudin.
MOHD Amin (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menerima rasuah. FOTO Eizairi Shamsudin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 12:59 PM