Hayati Ibrahim


LAPORAN Akhir Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori akan dibentangkan ke Kabinet dalam masa terdekat untuk dipertimbang dan dipersetujui.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan berkata, laporan yang dikemukakan Jawatankuasa Khas kajian berkenaan baru diperoleh pada 17 Julai lalu.

"Saya tidak dapat mengumumkan syor ini sekarang kerana ia perlu dibawa ke Kabinet terlebih dahulu untuk dipersetujui.

"Laporan akhir itu mengandungi syor-syor hukuman gantian terhadap 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori iaitu sembilan daripada Kanun Keseksaan; dua daripada Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, di samping 21 kesalahan yang membawa hukuman mati, tetapi tidak mandatori sebaliknya dengan budi bicara mahkamah," katanya pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan akan memansuhkan hukuman mati bagi kesalahan pengedaran dadah.

Takiyuddin berkata, hasil dapatan kajian dijangka menjawab persoalan sama ada kerajaan bercadang untuk meminda hukuman bagi kesalahan pengedaran dadah kepada hukuman penjara minimum supaya hukuman dapat dijatuhkan berdasarkan fakta setiap kes.

"Sekiranya syor berkenaan dipersetujui Kabinet, ia akan dilaksanakan secepat mungkin," katanya.

Beliau berkata, sehingga 11 Ogos lalu, hukuman mati mandatori bagi kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 adalah 918 orang.

Katanya, 472 daripadanya adalah warga tempatan, manakala 446 warga asing di mana 111 adalah warga Nigeria.

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan. FOTO BERNAMA
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan. FOTO BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 2:46 PM