ANAK gajah yang diselamatkan Perhilitan Johor. FOTO Ihsan Perhilitan
ANAK gajah yang diselamatkan Perhilitan Johor. FOTO Ihsan Perhilitan
Mohamed Farid Noh


DAKWAAN menyatakan kawanan gajah di Jalan Mawai, Kota Tinggi mengamuk berikutan mencari anak gajah yang hilang di kawasan itu, sejak minggu lalu, tidak benar.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban berkata, dakwaan yang tular di media sosial sejak semalam itu hanyalah persepsi orang ramai semata-mata.

"Dakwaan kawanan gajah di Jalan Mawai mengamuk setiap hari bagi mencari anaknya yang hilang tidak tepat dan tidak berasas. " katanya.

Beliau sebaliknya menjelaskan, Perhilitan Johor pada 14 Julai lalu menyelamatkan seekor anak gajah.

Katanya, ia selepas lebih seminggu haiwan itu dilaporkan berkeliaran secara bersendirian di kawasan Batu 7 Jalan Mawai (Jalan Kota Tinggi-Mersing) yang juga bersebelahan habitatnya di Hutan Simpan Panti, Kota Tinggi.

"Jalan Mawai antara Batu 4 hingga Batu 14 adalah kawasan kawanan gajah sering keluar dan melintas bagi tujuan mencari makan sejak dulu lagi berikutan ia terletak bersebelahan habitat asalnya. Ia bukan sesuatu yang luar biasa seperti didakwa orang ramai.

"Cuma kebetulan ada dua kes minggu lalu iaitu kematian seorang lelaki berusia 56 tahun akibat diserang gajah selain dua gajah makan buah di gerai penjaja yang berlaku secara berturutan di kawasan yang sama menyebabkan teori gajah mengamuk cari anak ditimbulkan oleh warganet," katanya.

Salman berkata, anak gajah perlu diselamatkan bagi mengelakkan ia menjadi mangsa binatang buas yang lain seperti harimau atau mati dilanggar kenderaan atau mati kebuluran.

"Anak gajah yang diselamatkan juga akan dirawat dan dijaga oleh doktor veterinar Jabatan Perhilitan dan diberikan susu serta makanan yang sesuai untuk pembesaran dan kelangsungan hidup mereka," katanya.

Mengulas lanjut, Salman berkata, kejadian pada malam Jumaat lalu di kawasan berkenaan adalah

kawanan gajah bertindak agresif kerana berasa terancam disebabkan gangguan manusia.

"Sebenarnya, ia berikutan Jalan Mawai ketika itu mengalami pertambahan kenderaan kerana perarayaan Aidiladha.

"Pengguna jalan raya yang terserempak gajah dilaporkan membunyikan hon kereta bertalu-talu dan teruja keluar dari kenderaan beramai-ramai kerana ingin merakam gambar dan video gajah yang keluar melintas.

"Ia menyebabkan haiwan berkenaan berasa terancam dan bertindak agresif, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2020 @ 10:30 AM