ANAK gajah temui mati, di Batu 13, Jalan Kota Tinggi-Mersing. FOTO Ihsan PERHILITAN
ANAK gajah temui mati, di Batu 13, Jalan Kota Tinggi-Mersing. FOTO Ihsan PERHILITAN
Mohd Sabran Md Sani


ANAK gajah jantan berusia enam tahun ditemui mati di Batu 13, Jalan Kota Tinggi-Mersing di Kota Tinggi, tengah hari ini.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor, Salman Saaban berkata, siasatan terhadap anak gajah berkenaan mendapati ia dipercayai dilanggar kereta pada 8 malam, Jumaat lalu.

“Pasukan Jabatan PERHILITAN Johor yang dikejarkan ke tempat kejadian mengesyaki anak gajah itu mati akibat kecederaan selepas ia dilanggar.

“Ini kerana jarak gajah ditemui mati adalah lebih kurang 50 meter dari tempat kejadian gajah dilanggar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berdasarkan siasatan di lapangan, katanya, badan anak gajah itu mempunyai kesan kecederaan dilanggar dan dianggarkan mati, semalam.

Menurutnya, ia berdasarkan bangkai yang mulai kembung dan berbau.

Salman berkata, pihaknya percaya anak gajah ini adalah dari Kumpulan Gajah Panti yang dianggarkan sebanyak 30 hingga 40 ekor dan sering bergerak melintasi Jalan Kota Tinggi-Mersing, terutama pada malam.

“Mengikut rekod jabatan sebanyak lima kes kemalangan membabitkan gajah dengan satu kematian berlaku pada tahun lalu di Jalan Kota Tinggi-Mersing,” katanya.

PERHILITAN Johor memasang 10 papan tanda di tempat yang sering dilalui kumpulan gajah melintas.

Sehubungan itu, Salman berkata, pihaknya menasihatkan orang ramai untuk sentiasa peka dan berhati-hati serta tidak memandu laju terutama pada malam bagi mengelak kejadian melanggar gajah atau hidupan liar lain berlaku di kawasan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 11:50 PM