RAKAMAN video dua gajah liar berkeliaran meluru gerai penjaja buah-buahan di Batu Mawai, Kota Tinggi. FOTO Facebook
RAKAMAN video dua gajah liar berkeliaran meluru gerai penjaja buah-buahan di Batu Mawai, Kota Tinggi. FOTO Facebook
Mohamed Farid Noh
am@hmetro.com.my

JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor meminta pengguna di laluan Jalan Mawai, Kota Tinggi supaya sentiasa berwaspada dengan kehadiran gajah di laluan berkenaan.

Pengarah PERHILITAN Johor Salman Saaban berkata, ia berikutan jajaran jalan berkenaan dari Batu 4 sehingga Batu 14 menjadi lokasi kawanan gajah sering lalu-lalang serta melintas bagi mencari makanan.

Katanya, laluan berkenaan terletak bersebelahan Hutan Simpan Panti seluas 155 hektar yang juga kawasan habitat asal gajah.

"Kita anggarkan terdapat 40 gajah atau lebih yang tinggal di Hutan Simpan Panti yang terletak bersebelahan Jalan Mawai.

"Sebab itulah laporan gajah melintas dan masuk ke kampung berhampiran iaitu Kampung Mawai sering dilaporkan malah minggu lalu juga, seorang lelaki maut akibat diserang gajah di Batu 6, Jalan Mawai manakala kelmarin pula dilaporkan dua gajah makan buah-buahan yang dijual penjaja gerai di jalan berkenaan.

"Kita meminta pengguna serta orang ramai di laluan Jalan Mawai khususnya di Batu 4 hingga Batu 14 supaya lebih berwaspada dan berhati-hati ketila terserempak dengan kawanan gajah.

"Terdapat banyak papan tanda amaran gajah di laluan berkenaan. Jika pemandu terserempak dengan gajah, mereka perlu berhenti dan membiarkan gajah melintas, jangan membunyikan hon atau memasang lampu tinggi sekali gus mengganggu gajah berkenaan mahu pun keluar dari kenderaan bagi mengambil gambar atau video.

"Gajah di kawasan itu tidak mengganggu kenderaan yang melalui laluan berkenaan jika ia tidak diganggu-gugat dan berasa terancam malah laporan ada kenderaan yang dipijak gajah sebelum ini sebenarnya berikutan pemandu yang tidak memberhentikan kenderaan mereka ketika kawanan haiwan berkenaan melintas," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jumaat lalu, media melaporkan kehadiran dua gajah liar di Jalan Mawai, Kota Tinggi menyebabkan pengguna jalan raya terpaksa menghentikan kenderaan mereka.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Hussin Zamora dilaporkan berkata, gajah liar itu masuk ke sebuah gerai buah-buahan di kawasan terbabit kira-kira jam 8 malam dengan pemiliknya terpaksa lari menyelamatkan diri.

Minggu lalu pula, seorang pengawal keselamatan berusia 56 tahun maut diserang sekumpulan gajah liar di Batu 6, Jalan Mawai.

Husin berkata, mangsa dipercayai diserang antara dua atau tiga gajah.

Sementara itu, Salman berkata, pihaknya akan berbincang dengan Pejabat Daerah Kota Tinggi mengenai kewujudan kira-kira 10 gerai penjaja di Jalan Mawai yang dibimbangi mendatangkan risiko keselamatan terhadap peniaga berkenaan.

"Kita akan berbincang dahulu sama ada penjaja terbabit perlu dipindahkan berikutan kawasan itu menjadi laluan gajah liar dan dibimbangi haiwan berkenaan akan kembali bagi mencari makanan di situ lagi, " katanya.

Berita berkaitan

Gajah mengamuk serang gerai

Susulan maut diserang gajah

Pengawal keselamatan maut diserang gajah

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2020 @ 4:40 PM