ANTARA gajah yang ditangkap. FOTO Ihsan Perhilitan Johor
ANTARA gajah yang ditangkap. FOTO Ihsan Perhilitan Johor
Nurul Amanina Suhaini


JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor berjaya menangkap tiga gajah liar di Kota Tinggi semalam.

Ia susulan serangan gajah di Batu 6, Jalan Mawai, di Kota Tinggi, pada 27 Julai dan 31 Julai lalu.

Pengarah PERHILITAN Johor, Salman Saaban, berkata tangkapan itu dibuat menerusi Ops Tangkapan Gajah di antara 12.30 tengah hari hingga 7.15 malam tadi.

Katanya, tangkapan dilakukan oleh pihak Unit Tangkapan Gajah (UTG) Johor bersama Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Pahang dengan kekuatan 12 kakitangan yang dipecahkan kepada dua kumpulan.

"Gajah berada dalam keadaan sihat dan aktif. Gajah betina pertama ditangkap di Ladang REM Pasak, Kota Tinggi, kira-kira 12.30 tengah hari.

"Manakala, gajah betina kedua dan gajah jantan masing-masing ditangkap di Ladang FELDA Pasak, Kota Tinggi, kira-kira 5.30 petang dan jam 7.15 malam.

"Tiga gajah liar berkenaan adalah sebahagian kumpulan gajah Panti yang menimbulkan konflik di sekitar kawasan Kampung Mawai, Kampung Lukut, Kampung Sendayan, Kampung Temenin, selain FELDA Pasak, FELDA Gugusan Lok Heng, FELDA Gugusan Waha dan kawasan sekitarnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Salman berkata, PERHILITAN Johor akan menjalankan pemantauan ke atas gajah terbabit sehingga ia dipindahkan ke habitat baharu.

Sebelum ini, berlaku insiden serangan gajah pada orang awam membabitkan kematian pada 27 Julai lalu dan isu tular gajah mengamuk di jalan Kota Tinggi-Mersing pada 31 Julai lalu.

Kedua-dua kejadian itu berlaku di Batu 6, Jalan Mawai, dekat sini.

Berita berkaitan

Bukan kes gajah mengamuk cari anak hilang

Pengguna Jalan Mawai diingatkan berhati-hati dengan gajah liar

Gajah mengamuk serang gerai

Susulan maut diserang gajah

Pengawal keselamatan maut diserang gajah

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2020 @ 10:39 AM