AHMAD Idham menerima cenderahati daripada Mohd Roslan selepas pertemuan baru-baru ini. FOTO ihsan pembaca
AHMAD Idham menerima cenderahati daripada Mohd Roslan selepas pertemuan baru-baru ini. FOTO ihsan pembaca
Yusmizal Dolah Aling


BERITA baik buat penggiat filem apabila isu royalti filem yang pernah diangkat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sebelum ini akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

Ia selepas beberapa siri pertemuan antara wakil Finas dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) mencapai kata positif berhubung keperluan royalti berkenaan kepada industri filem tanah air.

Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, isu berkenaan menjadi antara fokus pihaknya untuk memberi manfaat kepada penggiat filem, sama seperti apa yang diperoleh artis sebelum ini.

"Kita dapati sebelum ini tidak ada usaha sama dengan MyIPO untuk royalti kepada penggiat filem. Setakat ini saya juga tidak nampak apa-apa kertas cadangan mengenai perkara ini.

"Tetapi selepas semuanya selesai, akan ada satu badan yang kutip royalti bagi pihak penggiat filem. Kalau kita tengok ada saja elemen yang sepatutnya pemegang hak dapat bayaran tetapi mungkin terlepas pandang," katanya kepada Harian Metro.

Minggu lalu, delegasi Finas diketuainya mengadakan pertemuan bersama Ketua Pengarah MyIPO Datuk Mohd Roslan Mahayudin bagi membincangkan langkah berikutnya bagi tujuan berkenaan.

Ahmad Idham berkata, sebagai contoh, ada premis dan pengangkutan awam yang menayangkan filem kepada orang ramai namun tiada sebarang bayaran dibuat kepada mereka yang terbabit.

Katanya, Finas juga akan mengadakan pertemuan dengan pemain industri untuk mencari mekanisme terbaik mengenai kutipan royalti itu dalam masa terdekat.

"Sekarang masa untuk mengejar, bukan lagi menunggu. Kertas cadangan dan juga konsep sudah pun dihantar dan hanya tinggal sedikit saja lagi, doakan semuanya lancar," katanya.

Sementara itu, Mohd Roslan berkata usaha Finas itu menunjukkan bahawa semakin ramai yang sedar kepentingan melindungi harta intelek selain ia turut memberi manfaat besar kepada industri.

Katanya, pihaknya akan membantu Finas untuk melaksanakan fokus terbabit kerana ia akan membantu penggiat filem itu sendiri.

"Beberapa pertemuan dan perbincangan sudah diadakan sebelum ini. Kita akan bantu dan ini juga contoh kepada industri lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2020 @ 4:52 PM