Kenderaan mangsa yang turut kemek menjadi serangan gajah. FOTO Ihsan Pembaca
Kenderaan mangsa yang turut kemek menjadi serangan gajah. FOTO Ihsan Pembaca
Omar Ahmad


SEORANG pengawal keselamatan maut diserang sekumpulan gajah liar di sebuah lombong pasir di Batu 6, Simpang Perani, Mawai, Kota Tinggi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Hussin Zamora berkata, mangsa yang berusia 56 tahun dipercayai diserang sekumpulan kecil gajah yang kemungkinan terdiri daripada dua hingga tiga ekor gajah.

Katanya, lelaki itu ditemui meninggal dunia di lokasi kejadian pada jam 10.30 pagi.

"Hasil siasatan di tempat kejadian, mangsa ditemui dalam keadaan terbaring tidak berbaju serta berseluar hitam dengan kesan lebam pada badan disyaki diserang oleh gajah liar.

"Siasatan juga mendapati kesan tapak kaki gajah dan juga kesan seretan gajah terhadap mangsa di tempat kejadian.

"Kenderaan milik mangsa jenis Honda juga didapati kemek di bahagian bonet dan pintu," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk dibedah siasat.

Sementara itu, penduduk Kampung Mawai Badrul Zaman Abu Samah, 54, berkata, masalah gajah yang memusnahkan tanaman serta mengancam nyawa sering berlaku di kawasan berkenaan dan berlarutan sejak berpuluh tahun lalu.

"Sejujurnya memang penduduk dalam ketakutan, serangan gajah liar tidak kira waktu, tanaman jangan cakaplah memang musnah. Nyawa takkan hendak jadikan taruhan setiap kali gajah liar datang.

"Bukan tidak pernah insiden gajah masuk kampung, Kampung Mawai pernah dimasuki haiwan ini, sekumpulan besar dalam lapan ekor. Kampung Lukut pun pernah dimasuki berbelas ekor dan dekat dengan rumah penduduk.

"Tolonglah kerajaan negeri atau persekutuan, buatlah sesuatu berkaitan masalah gajah liar ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kumpulan gajah ini sering memasuki Kampung Mawai, Kampung Lukut, Kampung Gembut, Kampung Sedili Besar dan Felda Bukit Aping.

"Bila penduduk buat aduan, memang mereka yang terbabit halau kumpulan gajah itu, tetapi kumpulan gajah terbabit akan ke kawasan lain yang ada juga penempatan penduduk.

"Daripada sudut perladangan pula, memang berhadapan dengan serangan gajah. Ada satu kawasan di Batu 9, tanam 5,000 pokok sawit, tinggal 1,000 pokok, tidak sampai setahun.

"Masalah ini akan selesai sekiranya kumpulan gajah dipindahkan ke satu tempat lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2020 @ 5:49 PM