Siti Rohana Idris


TIGA bot nelayan asing yang dirampas dan dilucuthak mengikut Akta Perikanan 1985 dilupuskan di perairan Kuala Besar, Kota Bharu, hari ini.

Dua bot pukat jerut dan sebuah pukat tunda ditenggelamkan sebagai tukun tiruan kira-kira lima batu nautika di perairan Kuala Besar dalam proses pelupusan berlangsung lebih setengah jam.

Timbalan Menteri Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, kaedah penenggelaman sebagai tukun tiruan itu bertujuan pemuliharaan sumber stok ikan.

"Pada masa sama Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT), Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dapat menjalankan kajian terhadap bot rampasan asing dijadikan tukun tiruan dan impak kepada sumber perikanan.

"Di samping itu, ia memberi manfaat kepada nelayan kerana akan menjadi habitat perikanan baharu, sekali gus dapat menjana ekonomi nelayan," katanya ketika sidang media, hari ini.

Sebuah dari tiga bot bot nelayan asing yang dirampas dan dilucuthak sedang tenggelam dalam proses pelupusan untuk dijadikan tukun tiruan di perairan Kuala Besar, di sini, hari ini. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Sebuah dari tiga bot bot nelayan asing yang dirampas dan dilucuthak sedang tenggelam dalam proses pelupusan untuk dijadikan tukun tiruan di perairan Kuala Besar, di sini, hari ini. FOTO SITI ROHANA IDRIS

Che Abdullah berkata, sepanjang tahun ini sebanyak 13 bot nelayan asing dirampas dan dilucuthak sudah ditenggelamkan di seluruh negara.

Beliau berkata, kerajaan prihatin berkaitan isu pencerobohan bot nelayan asing ke perairan negara yang mengakibatkan ketirisan hasil laut dianggarkan berjumlah RM6 bilion setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2020 @ 3:20 PM