ANTARA individu yang ditahan kerana melanggar SOP di dua premis berasingan di Bintulu semalam.
ANTARA individu yang ditahan kerana melanggar SOP di dua premis berasingan di Bintulu semalam.
Erika George


SERAMAI 10 lelaki berhadapan dikenakan kompaun RM1,000 seorang kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Bintulu, semalam.

Semua lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 40 tahun itu ditahan pasukan pemantau diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam rondaan Op Covid-19 di dua premis berasingan di kawasan Bintulu Sentral dan didapati gagal mematuhi penjarakan sosial di premis makanan dan kafe.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili dalam kenyataan media hari ini mengesahkan, semua individu terbabit ditahan semasa rondaan dijalankan PDRM serta agensi berkaitan di dua premis berasingan antara 9.30 pagi hingga 10 malam.

"Pemeriksaan dijalankan mendapati 10 individu terbabit tidak mengikuti SOP iaitu penjarakan sosial ditetapkan.

"Pihak polis serta badan penguatkuasaan lain memandang berat ketidakpatuhan terhadap SOP sepanjang PKPP kerana ia salah di sisi undang-undang serta mendedahkan diri sendiri dan orang lain terhadap jangkitan pandemik Covid-19," katanya.

Beliau berkata, rondaan sedemikian akan diperhebatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan arahan PKPP dipatuhi, sekali gus membendung wabak berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2020 @ 7:50 PM