KEADAAN banjir di Papar FOTO Ihsan Balai Bomba Papar
KEADAAN banjir di Papar FOTO Ihsan Balai Bomba Papar
Rafiqah Dahali


SEBANYAK 13 kawasan sekitar Papar terjejas akibat banjir yang melanda sejak semalam.

Pegawai Daerah Papar, Ghulam Rasul Hapil berkata, seramai 29 orang mangsa banjir ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Masyarakat Papar, sejak semalam.

Katanya, terdapat beberapa kawasan rendah dinaiki air sehingga ke paras bahaya.

"Disebabkan beberapa kawasan rendah dinaiki air, PPS di Dewan Masyarakat Papar dibuka sekitar 8 malam, semalam.

"Kesan daripada hujan lebat sejak petang semalam menyebabkan paras air sungai Papar meningkat secara mendadak dan air Sungai Papar melimpah ke beberapa kawasan kampung terjejas.

"Anggota bertugas kini sedang membuat pemantauan dan membuat pemindahan mangsa ke pusat pemindahan sementara," katanya.

Antara kampung yang terjejas banjir di Papar membabitkan Kampung Tanaki, Kampung Kawang, Kampung Gusi, Kampung Sri Menanti, Kampung Anak Kinarut, Kampung Kelanahan, Kampung Kopimpinan, Kampung Beringgis dan Kampung Somboi.

Selain itu, kawasan sekitar pekan Kinarut, Taman Gloxinia, Taman Rose Garden dan perumahan flat Keretapi Kinarut juga antara kawasan yang dinaiki air.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2020 @ 10:57 AM