Antara barangan yang dirampas dalam tangkapan suspek di IPD Papar. FOTO Razik Zayad
Antara barangan yang dirampas dalam tangkapan suspek di IPD Papar. FOTO Razik Zayad
Junaidi Ladjana dan Razik Zayad


LIMA lelaki termasuk seorang remaja berusia 15 tahun dicekup polis selepas didapati terbabit dengan aktiviti jenayah samun berkumpulan di kawasan Kinarut, Papar, hari ini.

Dalam tangkapan antara jam 1 dan jam 6 pagi itu, semua suspek berusia antara 15 hingga 30 tahun ditahan di beberapa lokasi oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Ladamah Sulaiman berkata, semua suspek dipercayai terbabit kes samun pasangan suami isteri berhampiran premis membuat sofa di pekan Papar, 28 Oktober lalu, membabitkan kerugian telefon bimbit dan wang tunai RM350.

"Bertindak atas maklumat itu, polis menjalankan siasatan lanjut dan berjaya menjejaki kelima-lima suspek di sekitar kawasan Kinarut dalam serbuan bermula jam 1 pagi tadi.

"Dalam serbuan itu juga, polis turut berjaya menemukan sebilah samurai, pisau tajam dan beberapa telefon bimbit yang dipercayai hasil kegiatan jenayah kumpulan suspek sebelum ini," katanya dalam sidang media di IPD Papar, Papar, hari ini.

Menurut Ladamah, semua suspek kini direman untuk membantu siasatan berkenaan.

"Siasatan masih diteruskan dan tidak menolak kemungkinan suspek turut terbabit dalam beberapa jenayah di daerah ini.

"Hasil ujian air kencing mendapati empat daripada mereka positif dadah," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 7 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Sehubungan itu, Ladamah menasihati ibu bapa supaya mengawal gerak-geri anak mereka supaya tidak terbabit dengan sebarang aktiviti jenayah.

"Orang ramai juga dinasihati supaya sentiasa berwaspada dengan keadaan sekeliling terutama di kawasan gelap dan sunyi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2017 @ 5:39 PM