Kerja pembersihan lumpur dilakukan pelbagai pihak termasuk guru di SK Daingin Papar. FOTO ihsan SK Daingin Papar
Kerja pembersihan lumpur dilakukan pelbagai pihak termasuk guru di SK Daingin Papar. FOTO ihsan SK Daingin Papar
Oleh Rafiqah Dahali


PEKERJA pembersihan masih bertungkus-lumus membersihkan Sekolah Kebangsaan (SK) Daingin di sini, yang teruk terjejas akibat banjir.

Guru besarnya, Asmah Salleh ketika dihubungi berkata, setakat ini, blok bangunan kelas dan tandas sudah dibersihkan serta boleh digunakan.

"Pelbagai pihak berusaha membantu termasuk guru sekolah ini, Majlis Guru Besar, Persatuan Pengetua Papar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin tempatan dan orang awam.

"Pada masa sama, sekolah turut menerima sumbangan kewangan dan mesin pencetak," katanya hari ini.

Menurut beliau, pihaknya turut sibuk membuat persediaan buka sekolah mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Setakat hari ini, kira-kira 90 peratus persediaan pengoperasiaan untuk prasekolah sedang dibuat dengan menggunakan sisa meja dan kerusi yang masih baik serta selamat digunakan.

"Sekolah dan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) mengambil keputusan untuk memohon penangguhan pengoperasian prasekolah yang sepatutnya bermula 16 Julai ini," katanya.

Terdahulu, 25 sekolah di Sabah dinaiki air berikutan hujan lebat sehingga menyebabkan banjir di beberapa kawasan di negeri ini bulan lalu.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JKNS) Dr Mistrine Radin berkata, sekolah terjejas terletak di Penampang, Kota Kinabalu, Papar, Sipitang, Kota Belud, Tuaran dan Beaufort.

Di Papar, SK Daingin antara sekolah paling teruk terjejas selain SK Kambizaan, SK Gana, SK Pekan Kinarut, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kin Kiau Kinarut, SJKC Cheng Ming dan SK Kelatuan.

Keadaan SK Daingin yang terjejas akibat banjir yang melanda Sabah bulan lalu.
Keadaan SK Daingin yang terjejas akibat banjir yang melanda Sabah bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 4:30 PM