TINJAUAN di pusat beli belah di Petaling Jaya. FOTO Khairul Azhar Ahmad
TINJAUAN di pusat beli belah di Petaling Jaya. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Raja Noraina Raja Rahim


PUSAT beli-belah digalakkan mengehadkan jumlah kemasukan pelanggan bagi memastikan penjarakan sosial diamalkan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan tidak menyekat kemasukan beramai-ramai ke pusat beli-belah namun pemilik premis boleh mengambil tindakan itu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Pusat beli-belah boleh mengambil tindakan mereka untuk memastikan keselamatan pelanggan.

"Jika terlalu ramai pelanggan serentak, mereka boleh membuat peraturan supaya ada giliran untuk masuk," katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai situasi di pusat beli-belah yang terlalu ramai terutama pada hari minggu.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, ketika ini sudah ada premis perniagaan di pusat beli-belah yang mengambil inisiatif sendiri mengehadkan jumlah pelanggan di dalam premis pada satu-satu masa.

"Seperti kita (kerajaan) kata, mesti ada penjarakan sosial kalau sesak mereka boleh buat peraturan mengehadkan jumlah dan membuat giliran pelanggan untuk masuk ke premis perniagaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2020 @ 3:38 PM