UMAT Islam menunaikan solat Isyak di Masjidil Haram selepas pihak berkuasa membenarkan kemasukan terhad di situ. FOTO AFP
UMAT Islam menunaikan solat Isyak di Masjidil Haram selepas pihak berkuasa membenarkan kemasukan terhad di situ. FOTO AFP
Agensi

Jeddah: Kedai runcit dan pusat beli-belah di Arab Saudi dibuka semula semalam dengan peraturan yang ketat bagi mengekang penularan Covid-19.

Portal Arab News melaporkan, semua perniagaan itu dibuka dari 9 pagi hingga 5 petang dan semua pelanggan harus menjalani pemeriksaan suhu di pintu masuk di premis.

Mereka yang mempunyai suhu badan melebihi 38 darjah Celsius tidak dibenarkan memasuki pusat beli-belah itu dan akan dipindahkan ke pusat perubatan terdekat.

"Syarikat komersial diminta untuk melakukan pemeriksaan suhu untuk pelanggan dan pekerja mereka, larangan mencuba produk kosmetik dan minyak wangi serta mengamalkan penjarakan sosial," kata jurucakap Kementerian Perdagangan dan Pelaburan, Abdulrahman Al-Hussein.

Pelanggan juga diminta untuk mengamalkan penjarakan sosial dua meter antara satu sama lain, memakai penutup hidung dan mulut serta sarung tangan, mengelakkan produk uji dan ditemani hanya seorang individu.

Individu bawah umur 15 tahun, orang tua dan pesakit kronik seperti berkaitan jantung, paru-paru dan buah pinggang tidak dibenarkan masuk dan disarankan untuk duduk di rumah.

Surau, tempat hiburan, kafe dan restoran di pusat beli-belah akan tetap ditutup.

Dengan banyak orang memilih untuk membeli-belah dalam talian, kementerian mendedahkan menerima lebih dari 12,000 laporan kelewatan penghantaran sejak awal Ramadan.

"Kami sekarang berusaha menawarkan penyelesaian yang cepat dan efektif," kata Abdulrahman.

Sementara itu, syarikat kontrak dan kilang juga meneruskan aktiviti tanpa sekatan masa.

Sementara itu, Arab Saudi mencatat 1,325 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes positif 21,402 kes dan 18,292 adalah kes aktif.

Kementerian Kesihatan mengumumkan 2,953 pesakit pulih dengan lima kematian baharu dengan jumlah keseluruhan 157 kematian.

Kematian terbaru membabitkan ekspatriat di Makkah dan wilayah Timur berusia antara 25 hingga 52 tahun.

Dalam pada itu, di Jordan, rakyat kembali memandu di jalan raya selepas kerajaan melonggarkan perintah kawalan pergerakan yang ketat selama 40 hari.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2020 @ 12:00 PM