PENGAWAL keselamatan dan anggota Polis Bantuan mengawal pintu masuk pusat beli belah di Kuala Lumpur, kelmarin. FOTO Hazreen Mohamad
PENGAWAL keselamatan dan anggota Polis Bantuan mengawal pintu masuk pusat beli belah di Kuala Lumpur, kelmarin. FOTO Hazreen Mohamad
Suraya Roslan dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Pengawal keselamatan kompleks beli-belah dan pemilik premis perlu memastikan hanya pelanggan dengan status 'risiko rendah' dalam MySejahtera dibenarkan memasuki kompleks dan premis masing-masing.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, prosedur operasi standard (SOP) itu ditambahbaik bagi mengekang individu bergejala dan mempunyai status 'risiko tinggi' menyebarkan virus Covid-19 dalam komuniti.

"Selain itu, melalui sistem Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE), saya dimaklumkan kompleks beli-belah ditutup selepas dinilai mempunyai kes.

"Setiap kompleks beli-belah diberi arahan supaya mematuhi SOP ketat dengan mengehadkan kemasukan pengunjung bagi membolehkan penjarakan fizikal," katanya dalam sidang media bersama Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, pengawal keselamatan juga diminta menjaga kemasukan di kompleks beli-belah dengan memastikan setiap imbasan MySejahtera hanya individu berisiko rendah dibenarkan masuk.

"Mereka berisiko tinggi tidak dibenarkan masuk kompleks beli-belah sebagai langkah pencegahan," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri menjelaskan, kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali lagi bagi mengawal penularan jangkitan Covid-19 bagi memastikan kesinambungan hidup dan kehidupan terpelihara.

"Kerajaan membuat keputusan untuk membuka balik sektor ekonomi dan sosial dengan SOP yang lebih ketat.

"Malangnya, virus ini berada di sekeliling kita ditambah lagi dengan kemunculan varian Afrika Selatan dan India, ia semakin mengancam sistem kesihatan negara ini," katanya.

Menurutnya, kerajaan terpaksa mengambil keputusan yang mencabar ini selepas mengambil kira trend peningkatan kes positif Covid-19 yang tinggi sehingga mececah empat angka setiap hari.

"Dalam usaha untuk mengekang penularan pandemik ini, kerajaan bermesyuarat setiap hari dan laporan yang diterima juga adalah setiap hari.

"Terdapat keputusan yang terpaksa diambil segera dan ia dilihat berubah namun hakikatnya ia mengambil kira laporan harian yang diterima.

"Di dalam penyediaan SOP, pastinya kerajaan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat di hadapan terutama dalam aspek kos sara hidup," katanya.

Katanya, kerajaan memahami kesukaran yang dihadapi rakyat khususnya mereka yang bergantung kepada pendapatan harian sebab itu kerajaan mengambil keputusan untuk membenarkan sektor ekonomi untuk dibuka dengan SOP yang lebih ketat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 6:49 PM