DUA lelaki ditahan kerana disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan kaedah bom ikan di Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
DUA lelaki ditahan kerana disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan kaedah bom ikan di Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


KECEKAPAN Pasukan Polis Marin (PPM) membawa kepada rampasan 200 kilogram (kg) ikan yang dipercayai ditangkap menggunakan kaedah bom ikan di Pasar Safma, Kota Kinabalu, semalam.

Dalam rampasan jam 8 pagi itu, PPM turut berjaya menahan dua lelaki berusia 25 dan 29 tahun ketika mereka melakukan aktiviti memunggah ikan berkenaan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kota Kinabalu Asisten Superintendan Enturan Lageh berkata, bertindak atas aduan awam, pihaknya melakukan operasi pemeriksaan di kawasan pasar berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan, pihaknya mendapati tujuh bakul ikan pelbagai jenis yang disyaki ditangkap menggunakan bahan letupan.

"Ketika operasi dilakukan, dua lelaki yang sedang melakukan pemunggahan ikan dilihat dalam keadaan mencurigakan.

"Anggota dan pegawai PPM segera menahan kedua-dua lelaki terbabit sebelum memeriksa ikan yang dipunggah untuk mengenal pasti sama ada ditangkap menggunakan bahan letupan atau tidak," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Enturan berkata, jumlah keseluruhan ikan yang dirampas adalah sebanyak 200 kg dan dianggarkan bernilai RM2,315.

"Kes diserah kepada Jabatan Perikanan dan disiasat mengikut Seksyen 26(1)(c) Akta Perikanan 1985 kerana memiliki ikan disyaki ditangkap dengan menggunakan bahan letupan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2020 @ 5:37 PM