ANGGOTA PPM Kota Kinabalu memeriksa bot pam yang ditinggalkan. FOTO JUWAN RIDUAN
ANGGOTA PPM Kota Kinabalu memeriksa bot pam yang ditinggalkan. FOTO JUWAN RIDUAN
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Terjun ke laut sebelum melarikan diri ke belukar bagi mengelak ditahan Pasukan Polis Marin (PPM).

Itulah tindakan nekad dua lelaki ketika dikesan melakukan aktiviti pengeboman ikan, kira-kira 10 malam tadi.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Enturan Anak Lageh berkata, sepasukan anggota termasuk pegawai yang menjalankan Ops Benteng Covid-19 mengesan sebuah bot pam dalam keadaan mencurigakan di laut Tanjung Logong, Pulau Gaya, di sini.

Katanya, ketika pasukan PPM menghampiri dan mengarahkan untuk berhenti, bot pam berkenaan bertindak memecut laju ke arah pesisir pantai Tanjung Logong.

"Ketika mereka memecut laju bot pam, kelihatan dua lelaki terjun ke laut dan melarikan diri ke dalam belukar berdekatan pesisir pantai berkenaan.

"Pemeriksaan ke atas bot pam itu menemui beberapa unit peralatan yang lazimnya digunakan dalam aktiviti pengeboman ikan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, antara barang yang dirampas iaitu satu unit enjin pam, dua botol plastik minuman dipercayai berisi baja amonia.

"Turut ditemui, dua unit bahan peledak (detonator) yang siap dipasang sumbu, topeng dan lima kilogram ikan pelbagai jenis.

"Semua rampasan dibawa ke Pangkalan Markas Operasi PPM Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut," katanya.

Enturan berkata, nilai keseluruhan rampasan yang berjumlah RM1,481 itu diserahkan kepada Jabatan Perikanan dan disiasat mengikut Seksyen Akta Perikanan 1985.

PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0132831197.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 11:05 AM