Abdul Azeez berbual dengan masyarakat India selepas mengadakan perjumpaan di Kuala Ketil dekat Baling hari ini. Foto Safuri Kamarudin
Abdul Azeez berbual dengan masyarakat India selepas mengadakan perjumpaan di Kuala Ketil dekat Baling hari ini. Foto Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin

AHLI Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menjelaskan bahawa Ahli Parlimen Batu Kawan P Kasthuriraani berhak membuat apa sahaja berhubung perkataan 'gelap' dan 'bedak' yang menghangatkan Dewan Rakyat pada Isnin lalu.

Menurutnya, ia termasuk pertimbangan yang mungkin dilakukan pemimpin DAP terbabit untuk membawa isu itu ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Katanya, beliau bersedia jika ada permintaan untuknya bagi memohon maaf termasuk secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia walaupun terbabit sudah ditarik balik dan permohonan maaf juga sudah dibuat di dalam Dewan Rakyat.

Jelasnya, beliau berjanji perkara sedemikian tidak akan berulang walaupun tidak sesekali berniat untuk menghina atau memperlekeh mana-mana pihak terutama kaum India.

Abdul Azeez berkata, Kasthuriraani turut diharap melakukan perbuatan sama khususnya melalui beberapa perkataan yang dilemparkan terhadap Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

"Kalau nak bercerita bab tu (gelar menggelar) nak cerita apa yang berlaku jadi panjang kita boleh cerita.

"Tak perlu saya huraikan perkara tu, saya harap benda ni selesai dalam Parlimen, kita nak buat kerja untuk rakyat, bukan nak cerita macam budak budak tadika, saya harap benda tu berhenti, tapi hak dia (nak buat apa apa pun) suka hati lah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas perjumpaan bersama pemimpin masyarakat India Parlimen Baling di Dewan Bola Keranjang Kuala Ketil dekat Baling hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil Mejar (B) Mansor Zakaria.

Pada Selasa lalu, Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuriraani Patto menjelaskan beliau sedang mempertimbangkan untuk merujuk Abdul Azeez ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Ia adalah susulan daripada kenyataan 'gelap' dan 'bedak' yang dikeluarkan Ahli Parlimen Baling itu yang disifatkannya sebagai rasis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Julai 2020 @ 12:37 PM