Oleh Maiamalina Mohamed Amin


PERBAHASAN sesi petang di Dewan Rakyat, hari ini hingar dengan dakwaan ada Ahli Parlimen yang hadir ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta tanpa memakai pelitup muka.

RSN Rayer (PH-Jelutong) bangun menggunakan Peraturan Mesyuarat 37 selepas Datuk Liew Vui Keong (Warisan-Batu Sapi) mengakhiri perbahasannya untuk mempersoalkan perkara itu.

Katanya, ada gambar tular yang dilihatnya menunjukkan Ahli Parlimen hadir ke mahkamah, antaranya Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) tanpa memakai pelitup muka.

"Kemudian Baling duduk di situ (tempat duduknya). Ini membabitkan kesihatan, nyawa kita semua," katanya yang kemudian dipersoalkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Azalina Othman Said kerana menggunakan Peraturan Mesyuarat yang salah untuk mencelah perbahasan.

Azalina: Kalau berdiri menggunakan Peraturan Mesyuarat 37 ia berkenaan perbahasan. Saya tanya dalam prosedur Peraturan Mesyuarat ke, Yang Berhormat (YB) kata tak ada. YB sebut pula mengenai prosedur operasi standard (SOP) (pemulihan Covid-19 Parlimen).

RSN Rayer: (Guna) Peraturan Mesyuarat 2 (tempat duduk ahli dewan). YB Baling duduk di situ dan mendedahkan kita semua kepada bahaya. Pagi tadi dia hadir ke mahkamah di Jalan Duta, dia tidak memakai pelitup muka. Saya prihatin terhadap kesihatan kita semua.

Azalina: Kalau YB nak merujuk kepada tempat duduk, itu yang dibuat Speaker (Yang Dipertua Datuk Azhar Azizan@Harun). Kalau nak tanya tentang sesiapa yang keluar masuk dewan, yang menjaga adalah bentara dan juga security (keselamatan) di luar dewan. Itu tertakluk kepada keputusan Ketua Pengarah Parlimen di luar dewan. Kalau YB ada isu tentang sesiapa di dalam dewan yang YB rasa tidak sesuai, YB bawa kepada ketua pengarah di luar dewan.

RSN Rayer: Saya risau keselamatan YB (Azalina) sendiri... kita semua.

Azalina: Saya ucapkan terima kasih (risaukan kesihatannya), tak apa YB, YB boleh bawa ke luar dewan. Saya nak sambung perbahasan dan keputusan saya muktamad mengikut Peraturan Mesyuarat 43 dan saya buat keputusan Tenom untuk berbahas.

RSN Rayer (kanan) mempersoalan keselamatan ahli parlimen lain mengenai kehadiran Abdul Azeez ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta tanpa memakai pelitup muka. FOTO NSTP
RSN Rayer (kanan) mempersoalan keselamatan ahli parlimen lain mengenai kehadiran Abdul Azeez ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta tanpa memakai pelitup muka. FOTO NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2020 @ 5:46 PM