SUKARELAWAN Kelab Sukan dan Rekreasi NSTP mengagihkan bantuan untuk mangsa banjir.
SUKARELAWAN Kelab Sukan dan Rekreasi NSTP mengagihkan bantuan untuk mangsa banjir.

Temerloh: “Terima kasih atas bantuan semua sukarelawan yang datang membersihkan sekolah kami.

“Ia dapat memberi semangat kepada murid untuk terus menuntut ilmu meskipun sekolah terjejas teruk akibat banjir, baru-baru ini,” kata guru Sekolah Rendah Agama At-Taqwa Wan Saiful Adli Wan Muhammad ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, kunjungan sukarelawan dari Kelab Sukan dan Rekreasi The New Straits Times Press (M) Berhad, semalam, meringankan beban warga kerja sekolah itu untuk membersihkan bangunan dan kawasan sekitar yang terjejas akibat banjir.

“Sekolah kami mengalami kerosakan hampir RM500,000 apabila empat blok bangunan menempatkan kelas ditenggelami air menyebabkan pendawaian rosak. Selain itu, kira-kira 2,300 buku teks dan buku latihan juga musnah akibat bencana itu.

“Dengan kehadiran sukarelawan ini, ia dapat membantu membersihkan kelas dengan lebih cepat sekali gus murid dapat belajar dalam keadaan lebih selesa,” katanya.

Pada program itu, seramai 45 sukarelawan daripada kelab terbabit bergotong-royong membersihkan kawasan sekolah berkenaan.

Turut serta sukarelawan dari Kolej Kemahiran Tinggi MARA Kuantan dan Institut Teknologi Maritim Belanda.

Sementara itu, ketua misi Mohamad Anis Abdullah berkata, program terbabit mendapat kerjasama Media Prima Berhad dan Tabung Bencana NSTP-Media Prima.

Katanya, selain gotong-royong itu, pihaknya turut menyumbang 100 naskhah al-Quran, kipas dinding (30), kipas berdiri (10) serta rehal untuk kegunaan murid sekolah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 January 2015 @ 5:19 AM