Roselan Ab Malek


Jerantut: Sebanyak RM7.5 juta peruntukan disediakan sebagai persediaan menghadapi banjir di seluruh Pahang penghujung tahun ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata, ia termasuk RM2.5 juta kos bekalan barangan keperluan makanan seberat 199 tan yang akan dihantar secara berperingkat ke 140 pangkalan hadapan seluruh negeri.

"Ia membabitkan 18 pangkalan hadapan di Kuantan, Temerloh (34), Bentong (2), Maran (11), Rompin (12), Pekan (14), Bera (11), Raub (10), Jerantut (16) dan Lipis (12).

ENAM kampung di pedalaman  Mukim Ulu Tembeling di pesisir Sungai Tebing dan sungai Sepia menerima bekalan keperluan. FOTO Roselan Ab Malek
ENAM kampung di pedalaman Mukim Ulu Tembeling di pesisir Sungai Tebing dan sungai Sepia menerima bekalan keperluan. FOTO Roselan Ab Malek

"Penghantaran bekalan makanan di lokasi berisiko terputus hubungan ketika banjir dihantar lebih awal," katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Tawar Datuk Nazri Ngah berkata, enam kampung di pedalaman Mukim Ulu Tembeling sudah menerima bekalan keperluan bencana Monsun Timur menerusi pangkalan hadapan di kampung itu semalam dan hari ini.

Menurutnya, enam kampung yang menerima bekalan itu ialah Kampung Pagi, Bukit Mat Daling, Kuala Sat, Bantal, Gusai dan Kampung Orang Asli Sungai Kucing yang terletak di pesisiran Sungai Tembeling dan Sepia.

Katanya, enam kampung itu adalah antara 16 pangkalan hadapan di daerah Jerantut yang menempatkan barangan makanan keperluan asas untuk digunakan ketika banjir.

"Agihan sembilan barangan keperluan seperti beras, minyak masak, gula, tepung, biskut dan kopi akan dihantar kepada semua pangkalan hadapan di daerah ini dan agihan itu bergantung kepada ramalan cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia.

"Di daerah ini , terdapat sebanyak 96 pusat pemindahan sementara (PPS) termasuk enam terletak di mukim Ulu Tembeling, manakala di kampung lain beberapa balai raya, sekolah, dewan dan balai penghulu dijadikan PPS," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 12:34 PM