Roselan Ab Malek


Jerantut: Tiga kakitangan Klinik Kesihatan Kampung Bantal, Ulu Tembeling, di sini, berdepan detik cemas apabila bot dinaiki terbalik di Sungai Tembeling, petang tadi.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, ketiga-tiga kakitangan klinik kesihatan terbabit diselamatkan kira-kira 20 penduduk kampung yang menyaksikan kejadian itu.

Difahamkan, ketika kejadian mereka dalam perjalanan dari Kampung Bantal ke Kampung ke Bukit Mat Daling untuk mengambil pesakit.

Tiga kakitangan klinik kesihatan yang selamat itu ialah Penolong Pegawai Perubatan Abdul Latif Mokhtar, 28, pemandu bot Hazrazi Bakhtiar, 35, membawa bot dan tukang kebun klinik kesihatan itu, Alias Ahmad, 41.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kesejahteraan Kampung (JKKK) Kampung Bantal Hamdan Ali berkata, ketika kejadian, dia berada di tepi Sungai Tembeling memantau paras air.

"Tiba-tiba saya ternampak seperti ada balak hanyut di seberang sungai, namun saya berasa tidak sedap hati lalu mengajak anak pergi melihat dari dekat.

PENDUDUK Kampung Bantal menyelamatkan tiga kakitangan Klinik Kesihatan Kampung Bantal  selepas bot dinaiki terbalik. FOTO Roselan Ab Malek
PENDUDUK Kampung Bantal menyelamatkan tiga kakitangan Klinik Kesihatan Kampung Bantal selepas bot dinaiki terbalik. FOTO Roselan Ab Malek

"Apabila sampai di situ, kami melihat bot milik klinik kesihatan terbalik dan saya segera memanggil penduduk kampung untuk membantu," katanya ketika dihubungi.

Hamdan berkata, ketiga-tiga kakitangan klinik kesihatan berkenaan berpaut pada dahan pokok di tebing sungai.

"Bot kesihatan itu hanyut kira-kira satu kilometer dari situ dibawa arus deras sebelum diselamatkan penduduk kampung.

"Punca kejadian disebabkan pemandu bot terlanggar sebatang pokok hanyut dan tidak dapat mengawal bot itu lagi lalu terbalik," katanya.

Katanya, semua penumpang selamat tanpa sebarang kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2020 @ 10:50 PM