ANTARA individu yang ditahan. FOTO ihsan polis
ANTARA individu yang ditahan. FOTO ihsan polis
Hamzah Osman


SERAMAI 80 individu ditahan atas pelbagai kesalahan membabitkan dadah dalam Ops Rintis Bersepadu di Langkawi, Khamis lalu.

Operasi mulai 1 pagi itu disertai anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi.

Turut serta, anggota Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Langkawi dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan Langkawi.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, operasi 24 jam itu membabitkan serbuan ke beberapa kawasan panas sekitar pulau berkenaan.

Katanya, 39 individu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A(1), Seksyen 39 A(2), Seksyen 12(2) akta sama, selain Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

"Rampasan dadah membabitkan heroin seberat 51.46 gram (g); syabu (6.32g); ganja (0.42g) dan air ketum (500 mililiter).

"Seramai 41 individu pula ditahan mengikut Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952 dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983," katanya ketika dihubungi di Langkawi, hari ini.

Katanya, operasi bertujuan membanteras pengedaran dan penagihan dadah di kawasan yang dikenal pasti menjadi 'sarang' penagihan selain meredakan kebimbangan orang awam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 11:18 AM