KHIDMAT urutan dijalankan mengikut SOP. FOTO Fathil Asri
KHIDMAT urutan dijalankan mengikut SOP. FOTO Fathil Asri
Sri Ayu Kartika Amri


"SOKONGLAH golongan seperti kami supaya dapat menjana semula sumber pendapatan," luah Siti Hadijah Abu Bakar, 45, kepada Harian Metro.

Dia yang bekerja sebagai tukang urut buta bertauliah di Maju Therapy Zone Mara Digital, Kuala Lumpur

bersyukur kerana kerajaan sudah membenarkan premis urut dan refleksologi beroperasi 1 Julai lalu.

"Saya mewakili semua premis urut orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan menyeru orang ramai supaya tidak risau untuk mendapatkan perkhidmatan kami.

"Semua tukang urut yang bekerja sudah pun menjalani ujian saringan Covid-19 dan Alhamdulillah, 99 peratus disahkan negatif.

"Kami juga sudah melaksanakan semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk sanitasi premis.

"Selain itu, bagi memberi keyakinan pelanggan kami juga memakai sarung tangan, 'face shield' dan cecair pembasmi kuman.

"Malah, cadar katil dan sarung bantal yang digunakan juga sentiasa ditukar. Bagi setiap bilik hanya satu katil dibuka untuk pelanggan," katanya.

SITI HADIJAH Abu Bakar. FOTO Fathil Asri
SITI HADIJAH Abu Bakar. FOTO Fathil Asri

Siti Hadijah yang menjadi tulang belakang keluarga mencari rezeki selepas suaminya mengalami strok juga berharap masyarakat dapat sama-sama menyokong golongan seperti mereka.

Menurutnya, simpanan kebanyakan mereka juga semakin berkurangan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Justeru, saya merayu datanglah sokong kami kerana sampai bila kami mahu bergantung berharap dengan sumbangan semata-mata.

"Tulang empat kerat kami masih mampu digunakan dan kami sedia berkhidmat seperti biasa," katanya yang mempunyai anak berusia empat hingga 16 tahun.

Dia turut bersyukur kerana pelanggan lama masih setia mendapatkan perkhidmatan dan menyokongnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2020 @ 6:29 PM