Nurul Hidayah Bahaudin


Sungai Buloh: Dua beradik ditahan selepas dipercayai aktif melakukan kegiatan pecah premis dobi, taska serta restoran di sekitar daerah ini, Gombak dan Klang sejak akhir tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, kedua-dua suspek masing-masing berusia 20 dan 23 tahun itu ditahan dalam serbuan Op Pintu Khas di dua rumah di Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang pada 11 dan 12 Februari lalu.

"Kami menerima laporan daripada seorang pemilik dobi di Kuang yang memaklumkan premis berkenaan dipecah masuk membabitkan kerugian RM1,500 pada 4 Januari lalu.

"Berdasarkan laporan itu, kami menahan dua suspek terbabit di lokasi berkenaan dan merampas sebuah motosikal Honda EX5, satu tukul dan satu pemutar skru yang dipercayai digunakan mereka bagi melakukan kegiatan berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, di sini, hari ini.

SHAFA'ATON menunjukkan barang rampasan dalam Ops Pintu di IPD Sungai Buloh. FOTO Fathil Asri.
SHAFA'ATON menunjukkan barang rampasan dalam Ops Pintu di IPD Sungai Buloh. FOTO Fathil Asri.

Shafa'aton berkata, siasatan awal mendapati suspek terbabit dipercayai melakukan kegiatan pecah premis pada awal pagi iaitu antara jam 1 hingga 5 pagi.

"Hasil soal siasat dilakukan, kami mengenal pasti suspek berkenaan dipercayai terbabit dengan 11 kes pecah premis membabitkan kerugian RM15,000 di daerah ini, Gombak serta Klang.

"Semakan mendapati suspek berusia 20 tahun terbabit mempunyai 13 rekod berkaitan jenayah dan dadah, manakala seorang lagi suspek mempunyai tiga rekod jenayah serta dadah.

"Hasil ujian saringan air kencing dilakukan mendapati kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis methaphetamine," katanya.

Katanya, kedua-dua suspek berkenaan direman sehingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 1:39 PM