Muhyiddin Yassin (enam dari kanan) menyampaikan angerah Keceriaan Kampung Felda 2020 kepada Ketua Peneroka Felda Sahabat 3, Midon Bahoi (empat dari kiri) pada perasmian sambutan Hari Peneroka Felda 2020 Peringkat Kebangsaan di MRSM Felda, Kampung Tun Abdul Razak di Sungkai, hari ini. FOTO BERNAMA
Muhyiddin Yassin (enam dari kanan) menyampaikan angerah Keceriaan Kampung Felda 2020 kepada Ketua Peneroka Felda Sahabat 3, Midon Bahoi (empat dari kiri) pada perasmian sambutan Hari Peneroka Felda 2020 Peringkat Kebangsaan di MRSM Felda, Kampung Tun Abdul Razak di Sungkai, hari ini. FOTO BERNAMA
Noor Hidayah Tanzizi


KEUNIKAN lokasi Felda Sahabat 3, Lahad Datu di Sabah membawa tuah apabila dinobatkan juara Anugerah Keceriaan Kampung Felda (AKKF) pada Sambutan Hari Peneroka FELDA 2020 Peringkat Kebangsaan, hari ini.

Ketua Peneroka Sahabat 3, Midon Bahoi berkata, kedudukan penempatan itu berhampiran pantai Sahabat turut menjadi tumpuan penduduk dari luar tanah rancangan berkenaan untuk beriadah.

Katanya, anugerah yang membawa pulang wang tunai RM300,000 itu dimenangi selepas empat kali percubaan.

"Sebahagian wang kemenangan itu akan dibahagikan kepada 188 peneroka dan selebihnya akan diperuntukkan untuk pelbagai projek di tanah rancangan berkenaan.

"Kejayaan ini adalah hasil usaha, kerjasama serta perpaduan seluruh peneroka di felda kami dan ia juga akan menjadi penyuntik semangat pada masa akan datang.

"Kami mahu menaikkan imej Felda kami yang mempunyai keunikan tersendiri dan terletak berhampiran pantai Sahabat yang menjadi tumpuan penduduk setempat untuk beriadah.

"Selain itu, kami juga mempunyai agro pelancongan iaitu perternakan lembu selain tanaman buah naga dan kelapa matag," katanya

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sambutan Hari Peneroka FELDA 2020 Peringkat Kebangsaan yang dirasmikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda Trolak, Sungkai, hari ini.

FELDA Sahabat 3 yang ditubuhkan pada 1985 dan mula mengambil peneroka pada 1989 itu turut mempunyai 11 inap desa dan pengusaha sarang burung walit.

Katanya, selain tanaman kelapa sawit dan sayuran, Felda Sahabat 3 juga sering mengadakan pertandingan memancing dengan mengalakkan penyertaan orang luar bagi mengeratkan hubungan.

Pemenang kedua AKKF dimenangi Felda Adela, Kota Tinggi yang membawa pulang RM200,000 manakala tempat ketiga ialah Felda Raja Alias Empat, Negeri Sembilan yang menerima RM100,000.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 6:33 PM