GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Peguam Kanan Persekutuan dihukum penjara sehari dan didenda RM130,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM700,000 pada Mei hingga Jun tahun lalu.

Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Lim Cheah Yit, 43, mengaku bersalah bagi semua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, Cheah Yit sebagai pegawai badan awam iaitu Peguam Kanan Persekutuan yang bertugas di Pejabat Jabatan Peguam Negara, Pulau Pinang bersetuju menerima untuk dirinya suatu benda berharga dengan tiada balasan iaitu wang tunai keseluruhannya berjumlah RM700,000.

Tertuduh didakwa menerimanya daripada seorang lelaki yang diketahui mempunyai urusan rasmi yang akan dijalankan dengan Pegawai Pendakwaan Negeri Pulau Pinang iaitu bagi menuduh seorang lelaki lain di mahkamah atas kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pertuduhan pertama, Cheah Yit didakwa bersetuju menerima RM500,000 di dalam bilik karaoke di sebuah pusat membeli-belah pada 8 Mac 2020, kira-kira 7 malam.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa bersetuju menerima RM100,000 di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Alor Setar, Kedah kira-kira 12.43 tengah hari pada 18 Mei 2020.

Manakala pertuduhan ketiga, dia bersetuju menerima RM100,000 di sebuah hotel di Bukit Jambul dekat sini pada 1 Jun 2020, kira-kira 12.19 tengah hari.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar manakala tertuduh diwakili peguam, S Devanandan.

Semasa prosiding kes, Ahmad Azhari menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh selepas dia mengaku bersalah atas semua pertuduhan terbabit.

Cheah Yit yang selesai membayar denda kemudian dihantar ke Penjara Seberang Perai di Jawi, Nibong Tebal, dekat sini bagi menjalani hukuman penjara sehari yang berjalan serentak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 4:19 PM