Datuk Johari Alifah ketika menunjukan minuman keras dan peralatan pemprosesan yang dirampas di Muar. FOTO ESSA ABU YAMIN
Datuk Johari Alifah ketika menunjukan minuman keras dan peralatan pemprosesan yang dirampas di Muar. FOTO ESSA ABU YAMIN
Essa Abu Yamin


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan sindiket pemprosesan minuman keras tiruan di dua lokasi berasingan di daerah ini, Jun lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Johari Alifiah berkata, ketika melakukan Ops Benteng 2020 dan Ops Pintasan 2020 pada 5 dan 26 Jun lalu, JKDM Johor melakukan serbuan masing-masing ke atas sebuah premis dan kilang di Tanjung Gading dan Tangkak.

"Hasil pemeriksaan ke atas premis terbabit menemui sejumlah minuman keras pelbagai jenama, kotak botol, setem cukai kastam, label minuman keras dan peralatan memproses minuman keras.

"Bagi kes di Tanjung Gading, anggaran jumlah rampasan adalah RM6,194.40 dengan jumlah cukai sebanyak RM11,770.25 manakala di Tangkak pula, anggaran jumlah rampasan adalah RM76,652.35 dengan jumlah cukai RM136,740.07.

"Seramai tujuh lelaki dan seorang wanita warga Indonesia ditahan kerana disyaki pekerja di premis berkenaan," katanya ketika sidang media di pejabat JKDM, Muar, hari ini.

Menurutnya, mereka yang ditahan direman selama 15 hari bermula 29 Jun lalu disiasat mengikut Seksyen 74(1)(f) Akta Eksais 1976.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2020 @ 5:11 PM