TIGA bot nelayan tempatan yang ditahan. FOTO Melvin Joni
TIGA bot nelayan tempatan yang ditahan. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni


TIGA bot nelayan tempatan yang sedang 'asyik' menangkap ikan di perairan lebih kurang 27 batu nautika dari utara Tanjung Po, Kuching, semalam, ditahan Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (Maritim) Sarawak.

Pengarah Maritim Sarawak Laksamana Pertama Maritim Robert Teh Geok Chuan berkata penahanan dibuat kira-kira 10.12 pagi ketika rondaan di perairan berkenaan.

"Aset Maritim yang sedang membuat rondaan berjaya mengesan tiga bot nelayan tempatan kelas C2 sedang melakukan aktiviti menangkap ikan dan terus melakukan pemeriksaan ke atas semua bot itu.

"Ketiga-tiga bot nelayan tersebut ditahan kerana menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan seperti ditetapkan pada lesen iaitu 30 batu nautika," katanya dalam kenyataan hari ini.

Robert berkata pemeriksaan mendapati ketiga-tiga tekong dan 20 orang awak-awak bot itu adalah warga Thailand.

Katanya, kesemua mereka yang berusia lingkungan antara 28 hingga 56 tahun dibawa ke Kompleks Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) untuk siasatan lanjut.

"Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana disyaki melanggar syarat lesen.

"Maritim Sarawak tidak akan berkompromi dengan sesiapa sahaja yang melanggar undang-udang di laut," katanya.

Tegasnya, Maritim sentiasa berusaha meningkatkan kawalan keselamatan dan rondaan operasi penguatkuasaan undang-undang di zon perairan negara bagi memastikan keselamatan kapal dan bot yang berada di perairan negara terjamin dan mematuhi undang-undang.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti mencurigakan di perairan supaya menghubungi pusat operasi Maritim Malaysia negeri Sarawak di talian 082-432544 yang beroperasi 24 jam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2020 @ 2:55 PM