Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim


SEKTOR industri yang ingin memulakan perkhidmatan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga perlu mematuhi garis panduan dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia penting bagi memastikan tidak berlaku sebarang jangkitan atau penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19).

Menurutnya, pelaksanaan dan tindakan PKP fasa ketiga perlu lebih dipertingkatkan bagi membendung penularan itu.

“Kita faham pelbagai sektor ingin kita pertimbangkan (untuk beroperasi) tetapi kita lihat bagaimana kepatuhan mereka kepada garis panduan KKM.

“Kita akan melaksanakan saringan dan juga pastikan mereka yang ingin memulakan sektor tertentu, kepatuhan mesti dapat dimantapkan,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Beliau berkata, KKM sentiasa bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk memastikan semua sektor yang dibenarkan beroperasi mematuhi garis panduan yang dikeluarkan oleh KKM.

“Jika kita lihat PKP fasa pertama dan kedua sebelum ini, walaupun sektor penting dibenarkan operasi tetapi mereka juga mematuhi garis panduan diberikan,” katanya.

Beberapa sektor perkhidmatan dibenarkan operasi semula oleh kerajaan ketika PKP fasa ketiga dan kelonggaran itu menimbulkan perbincangan hangat serta kebimbangan di kalangan rakyat.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2020 @ 7:12 PM