Hafidzul Hilmi Mohd Noor


AKTIVITI sukan dan kokurikulum di luar bilik darjah untuk pelajar sekolah dibenarkan bermula 1 September ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini meneliti dan meluluskan pembentangan garis panduan mengenai aktiviti itu yang dibentangkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Garis panduan ini merangkumi pelaksanaan aktiviti sukan dan kokurikulum secara bersemuka termasuk amali di luar bilik darjah bagi mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK) serta Sains Sukan dalam keadaan yang terkawal.

"Antara yang perlu dipatuhi termasuk mendapatkan kebenaran bertulis ibu bapa atau penjaga murid yang terbabit selain, penggunaan bilik mandi dan persalinan dihadkan, memastikan penjarakan fizikal satu hingga tiga meter bagi aktiviti statik dan satu hingga lima meter bagi aktiviti dinamik dan peralatan perlu dibersihkan dan disanitasi.

"Aktiviti yang diadakan juga perlu mengikut garis panduan dan SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN), KKM, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta KPM sedia ada," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.


Beliau berkata, garis panduan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Amali Teknikal dan Vokasional juga akan berkuat kuasa pada 1 September ini yang turut menetapkan bilangan murid berdasarkan kapasiti tempat selain peralatan amali yang sentiasa dibersihkan.

Katanya, murid bergejala tidak dibenarkan mengikuti aktiviti sementara, garis panduan lengkap boleh didapati di web MKN dan KPM pada tanggal berkenaan.

Gambar hiasan. Foto NSTP.
Gambar hiasan. Foto NSTP.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2020 @ 3:50 PM