SOLAT Jumaat dua sesi bakal diketahui pada minggu depan. FOTO BERNAMA
SOLAT Jumaat dua sesi bakal diketahui pada minggu depan. FOTO BERNAMA
Noorazura Abdul Rahman

KEPUTUSAN berkaitan keperluan solat Jumaat dua sesi bakal diketahui pada minggu depan termasuk di Wilayah Persekutuan, Melaka dan Pulau Pinang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, negeri-negeri yang tidak beraja sebaiknya mengikut keputusan sama seperti Wilayah Persekutuan.

"Negeri-negeri ini mempunyai Yang Dipertua Negeri, mereka ada peraturan sendiri, namun kebiasaannya negeri ini akan mengikut Wilayah Persekutuan.

"Keputusannya sudah diangkat sembah kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja untuk tindakan sebelum diumumkan pada akhir minggu depan... insya-Allah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Inspirasi Musaadah Covid-19 Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Ar Rahnu YaPEIM Sik, hari ini.

Turut hadir, Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hasan.

DR Zulkifli (tengah) menyerahkan sumbangan kepada penerima sempena Program Inspirasi Musaadah Covid-19 Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Ar Rahnu YaPIEM Sik.FOTO Noorazura Abdul Rahman
DR Zulkifli (tengah) menyerahkan sumbangan kepada penerima sempena Program Inspirasi Musaadah Covid-19 Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Ar Rahnu YaPIEM Sik.FOTO Noorazura Abdul Rahman

Sebelum ini, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) mengadakan perbincangan berhubung solat Jumaat dua sesi.

Ia adalah langkah membolehkan lebih ramai jemaah dapat menunaikan solat Jumaat selepas lebih tiga bulan masjid ditutup kepada orang awam berikutan pandemik Covid-19.

Terdahulu, Zulkifli dalam ucapannya berkata, YaPEIM sudah membelanjakan sebanyak RM3.26 juta pada tahun ini menerusi Program Foodbank yang memberi manfaat kepada 141,702 orang yang memerlukan.

Katanya, program Inspirasi Musaadah Covid-19 YaPEIM antara komponen utama Program Foodbank yayasan itu dalam membantu mereka yang terkesan terutama keluarga kumpulan B40.

Seramai 300 individu dari Sik menerima sumbangan di bawah program berkenaan, hari ini termasuk kepada tujuh keluarga mangsa ribut.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Jun 2020 @ 8:31 PM