Sri Ayu Kartika Amri

“KITA melonggarkan mekanisme pemberian bantuan bagi memastikan setiap lapisan masyarakat menerimanya tanpa mengira siapa pun,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri.

Beliau berkata, mekanisme bantuan yang diguna pakai untuk sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berbeza sedikit berbanding kelazimannya.

“Kita tidak boleh memfokus 100 peratus kepada golongan asnaf semata-mata untuk memberi bantuan kerana kebanyakan pekerja yang memperoleh gaji harian paling ketara terjejas.

“Apabila PKP dilaksanakan, kita sudah tidak ambil kira agama, bangsa dan status mereka, malah warga asing pun jika mereka betul-betul memerlukan kita akan menyantuni semuanya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program sumbangan #Musaadah Covid19 kepada komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan, pendengaran, kurang upaya kekal dan autisme di Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju di sini, hari ini.

DR ZULKIFLI berbual dengan Nurfariha Mia Sarah Muhammad Azizi, 9, di Majlis penyampaian sumbangan barang keperluan asas berikutan penularan Covid-19 di Masjid Usamah Bin Zaid, Wangsa Maju. FOTO FATHIL ASRI.
DR ZULKIFLI berbual dengan Nurfariha Mia Sarah Muhammad Azizi, 9, di Majlis penyampaian sumbangan barang keperluan asas berikutan penularan Covid-19 di Masjid Usamah Bin Zaid, Wangsa Maju. FOTO FATHIL ASRI.

Dr Zulkifli berkata, sejak PKP dilaksanakan, pihaknya menerusi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) sudah menyalurkan lebih RM130 juta bantuan kepada golongan memerlukan.

Menurutnya, jumlah sumbangan bantuan yang diterima juga bertambah setiap minggu.

“Biasanya kita akan mengemas kini maklumat bantuan terkini pada setiap Rabu dan kita akan laporkan kepada kabinet jumlah sumbangan yang dikumpul daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tabung Haji, JAWI dan agensi lain,” katanya.

Beliau berkata, paling utama sekarang adalah untuk memastikan semua pihak yang memerlukan menerima bantuan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2020 @ 5:26 PM