Kakitangan FAMA Pahang, Mohd Faris Abdullah memilih labu manis selepas aktiviti belian daripada pekebun di Pekan dan Rompin. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Kakitangan FAMA Pahang, Mohd Faris Abdullah memilih labu manis selepas aktiviti belian daripada pekebun di Pekan dan Rompin. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Pahang kini giat mengadakan promosi menjual labu manis dengan harga serendah RM1 sebiji di Pasar Segar Terkawal (PST) di Pahang.

Timbalan Pengarah Bahagian Operasinya, Shabuddin Mohd Nor berkata, usaha itu dilakukan bagi memastikan buah dibekalkan 80 pekebun di Pekan dan Rompin mendapat pasaran secara berterusan dengan jumlah banyak.

Menurutnya, hasil pertanian itu turut dihantar ke Fama Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka serta Selangor dan kini lebih 50 tan sudah diagihkan secara berperingkat sejak tiga minggu lalu.

"Fama negeri menerima lima hingga 10 tan labu dan jumlah berkenaan dijangka bertambah, sekali gus aktiviti penghantaran terus dilakukan apabila mendapat permintaan.

"Kami menjangkakan akan membeli lebih 300 tan labu manis hasil keluaran 80 pekebun di Pekan dan Rompin dan aktiviti belian setiap setiap minggu mula dilakukan 20 Mei lalu.

"Sebelum ini pekebun memasarkan hasil labu mereka kepada seorang pemborong utama, namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menyebabkan pasaran tidak dapat dilakukan," katanya di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata, pengeluaran labu manis di dua daerah berkenaan bertambah sekali hingga dua kali ganda pada musim kali ini dan faktor permintaan rendah menyebabkan pasaran kini agak perlahan.

Menurutnya, ini adalah kali pertama Fama membeli hasil petani terbabit.

"Kebanyakan pekebun yang mengusahakan tanaman labu itu adalah pesawah dan apabila selepas selesai musim menuai padi, mereka akan menanam labu di atas petak sawah.

"Aktiviti penanaman padi di dua daerah berkenaan dilakukan sekali setahun dan bagi memastikan lambakan labu tidak terus berlaku selepas ini, Fama mengambil keputusan menawarkan pekebun terbabit sebagai peserta ladang kontrak Fama.

"Mereka yang berminat boleh menerima tawaran itu dan mendapat beberapa kemudahan seperti semua hasil labu mereka dibeli Fama mengikut harga lantai, pengangkutan dan khidmat nasihat termasuk penyusunan jadual penanaman setiap tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2020 @ 2:53 PM