FAMA Pahang, Shabuddin Mohd Nor (tengah) ketika membuat pembelian labu manis keluaran petani di Kampung Pandan, Nenasi. FOTO Mohd Rafi Mamat
FAMA Pahang, Shabuddin Mohd Nor (tengah) ketika membuat pembelian labu manis keluaran petani di Kampung Pandan, Nenasi. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


MASALAH lambakan labu manis dihadapi 80 pekebun di Rompin dan Pekan selesai apabila Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang akan membeli 300 tan tanaman itu.

Timbalan Pengarah Bahagian Operasinya, Shabuddin Mohd Nor berkata, pembelian dilakukan secara berperingkat bermula 20 Mei lalu setiap minggu.

Menurutnya, sehingga kini sebanyak 50 tan labu manis pelbagai saiz dibeli pada harga lantai yang ditetapkan FAMA dan disambut baik pekebun.

Katanya, difahamkan pengeluaran labu manis di dua daerah berkenaan bertambah hingga dua kali ganda musim ini tetapi permintaan yang rendah menyebabkan pasarannya pelahan.

"Kita menjangkakan belian labu manis di dua daerah berkenaan pada musim menuai kali ini mampu mencecah RM250,000, FAMA akan terus berusaha membantu 80 pekebun terbabit bagi memastikan mereka tidak menanggung kerugian.

"Sejak 20 Mei lalu sebanyak 293 pembelian dilakukan FAMA setiap minggu, setiap kali pembelian membabitkan 600 kilogram hingga lima tan," katanya semalam.

Beliau berkata, semua labu manis yang dibeli daripada pekebun dijual semula kepada pemborong dan pengguna, aktiviti jualan kini dilakukan di Kompleks Pasar Tani Kekal Jerantut dengan harga promosi iaitu RM1 sebiji.

Shabuddin berkata, pihaknya akan memperluaskan aktiviti jualan ke semua Pasar Segar Terkawal di negeri ini bagi memberi peluang kepada pengguna mendapat labu manis segar pada harga murah.

Sebelum ini tular di media sosial kisah seorang pekebun labu manis di Kampung Pandan, Nenasi yang mendakwa hasil pertaniannya itu tidak dapat dipasarkan disebabkan pemborong mengurangkan pembelian.

Pekebun labu, Izzat Amir Adam, 29 berkata, dia bersyukur apabila FAMA Pahang tampil membeli sebanyak tujuh tan labu manis keluaran kebunnya seluas kira-kira sehektar.

"Tanpa bantuan FAMA saya mungkin akan menanggung kerugian apabila tidak dapat memasarkan labu manis, sebelum ini pemborong membeli dengan jumlah banyak namun pada musim menuai kali ini tidak berlaku lagi," katanya.

Berita berkaitan

  • Rezeki kuasa tular, labu dapat dijual
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2020 @ 4:00 PM